Artikel Pilihan

KENALI MODEL-MODEL WAGON HEBAT YANG PERNAH DIHASILKAN – PRAKTIKALITI SUV DENGAN PRESTASI KERETA SPORTS (BUKAN SEMUA)

Lupakan seketika tentang model-model supercar dan kereta-kereta sports yang menggetarkan lutut dan buah pinggang kita selepas memandunya seharian. Kita tengok pula satu lagi kategori yang sebenarnya lebih praktikal untuk golongan berkeluarga untuk kegunaan seharian dan sekali-sekala makan angin ataupun pulang ke kampung halaman. Inilah model yang biasa kenali dengan nama wagon ataupun station wagon ataupun estate, satu kategori yang menjadi asas kepada SUV pada masa kini.

Di Malaysia sebenarnya wagon ni sudah lama diperkenalkan bahkan ia mula dibawa masuk sejak dari zaman Morris Mini lagi. Tetapi jenama yang mempopularkan wagon sehingga menimbulkan minat orang ramai untuk memilikinya tentulah Volvo dengan model 850 T5 mereka. Kita tengok berapa banyak wagon berkuasa yang pernah hadir dan menawan hati peminat di seluruh dunia.

  • Volvo 850 T5

Ia boleh dianggap penghulu kepada wagon moden di Malaysia. Inilah model yang mengubah lanskap wagon dari kereta orang tua kepada kereta eksekutif muda yang mahukan praktikaliti. Ruang belakangnya cukup untuk memuatkan mountain bike nada tanpa perlu rak bumbung yang menyakitkan mata memandang (macamlah dia je main basikal). Selain daripada itu ia juga cukup berkuasa dengan enjin berkuasa turbo 5-selinder 20V yang mampu menghasilkan 222 hp. Tidak hairanlah kenapa ia menjadi pilihan pasukan polis seluruh dunia sebagai kereta peronda.

  • Nissan Skyline C10 Hakosuka Wagon

Nama dia pun dah Hakosuka, aku suka betul dengan wagon ni. Walaupun kini Jepun telah dijajah oleh sejumlah besar minivan dan model hatchback kecil tetapi satu ketika dulu wagon pernah menjadi pilihan popular di sana dan satu daripadanya ialah Wagon Skyline seperti di atas. Diasaskan daripada model Skyline sedan ia merupakan antara wagon klasik tercantik pernah dihasilkan. Jangan terkejut kerana model ini juga ada di Malaysia tetapi dalam jumlah yang terhad.

  • Nissan Stagea

Kalau tadi model Nissan klasik, ini pula mewakili wagon moden yang lebih kepada Nissan GT-R versi wagon. Model di atas ialah Nissan Stagea Autech 260RS yang menggunakan enjin RB26DETT yang sama dengan Nissan GT-R. Siapa yang kata wagon tak cukup power tu memang tak pernah kena cucuk lagi dengan kereta ni. Ia cukup rare walaupun di Jepun sendiri. Kira macam unikorn la ni. Ramai pernah dengar tapi tak pernah tengok live.

  • Subaru Impreza WRX Wagon

Selain dari menghasilkan model–model Subaru Impreza WRX sedan dengan prestasi jentera rali yang mampu menyemburkan api dari paip ekzosnya, Subaru turut mengeluarkan versi wagon Impreza WRX. Ia mempunyai spesifikasi yang hampir sama tetapi dengan praktikaliti sebuah wagon. Menggelegak beb sesekali pergi klinik untuk buat suntikan pelalian bayi anda.

  • Subaru Legacy STI

Kalau Impreza terlalu kompak untuk anda, Subaru ada pilihan lain untuk anda iaitu Subaru Legacy. Ia bersaiz lebih besar dengan enjin yang sama seperti dilengkapkan pada Impreza. Pilihan sesuai untuk keluarga yang semakin besar seiring dengan peningkatan usia anda. Jangan lupa yang ia juga mempunyai sistem AWD untuk kawalan yang lebih baik.

  • BMW E60 Wagon

Selain dari Volvo, BMW turut menceburi pengeluaran wagon dengan model-model mereka sejak dari E34. Walaupun mereka tidak begitu berjaya dalam pasaran Malaysia tetapi wagon yang mereka hasilkan tidak kurang menariknya dan cukup berkuasa. Inilah ‘Ultimate Driving Machine’ untuk seluruh ahli keluarga dan barang-barang runcit anda.

  • Mercedes-Benz E-Class AMG Wagon

Mercedes-Benz tetap akan menjadi pesaing tradisi BMW. Tidak dapat diketahui siapa yang meniru siapa tetapi wagon Mercedes tetap mempunyai tarikan sendiri. Kalau tak takkanlah model wagon Mercedes 123 masih dijual dengan harga melebihi RM30k. Talaan AMG membawa wagon Mercedes ke arena wagon sport yang cukup berkuasa.

  • Mitsubishi EV0 IX Wagon

Antara wagon paling rare dan paling berkuasa pernah dihasilkan ialah Mitsubishi Lancer Evolution IX Wagon. Anda tidak akan dapat menemui versi Evo wagon lain kecuali dalam versi Evo IX. Cukup berbeza dengan Subaru Impreza yang memberikan pilihan varian wagon untuk setiap generasinya. Wagon Evo ini bukan hanya berkongsi nama tetapi mempunyai semua ciri Evo IX yang sama seperti versi sedan. Kalau anda peminat wagon sejati dan berkemampuan, dapatkannya di pasaran sesekali ia muncul kerana ia merupakan satu daripada lipatan sejarah Lancer siri Evolution.

 

Google ads
Back to top button