
KENALI VOLKSWAGEN TARO – TOYOTA HILUX DENGAN LENCANA VW
Ini mungkin ramai yang tak tahu, sebenarnya, sebelum Volkswagen berjaya menandingi Toyota, mereka juga pernah menggunakan kenderaan Toyota yang dijenamakan pada produk mereka. Lama sebelum adanya VW AMarok, VoLkswagen sebenarnya “pernah” membuat trak pikap – atas ihsan Toyota.
Ia dinamakan Volkswagen Taro.
Kenderaan trak pikap satu tan ini diperkenalkan pada Januari 1989. Ia dihasilkan menerusi tiga model berasingan yang terdiri daripada pikap, van panel dan transporter yang berasaskan kerangka yang sama.
Nama “Taro” itu sendiri bermaksud anak sulung dalam keluarga dalam tradisi keluarga Jepun. Macam Ultraman Taro
Taro adalah projek rebadge sepenuhnya. Volkswagen menggunakan platform Toyota Hilux generasi kelima yang direkabentuk sepenuhnya oleh Toyota. Kerjasama ini dibuat kerana dua sebab
a) Kumpulan Volkswagen tidak ada pikap trak 1 tan
b) Toyota ingin meneroka pasaran Eropah yang menggunakan jenama yang sudah kukuh di sana. Ya. pada 1990-an, nama Toyota dalam pasaran trak ringan belum lagi cukup kuat di benua tersebut.
Projek ini bermula pada pertengahan 1980-an di mana Toyota dan Kumpulan Volkswagen telah menandatangani perjanjian di mana Volkswagen Commercial Vehicles akan memasang Hilux di kilang VWCV di Hanover, Jerman dan akan dijual di bawah nama Volkswagen Taro.
Model pertama Taro dibuat di Hanover dari tahun 1989 hingga 1994 dengan menggunakan enjin disel 2.4 liter dan hanya ada dalam versi pacuan dua roda belakang.
Pada 1994, sewaktu pameran kenderaan komersial Nutfahrzeuge, Volkswagen melancarkan varian pacuan empat roda Taro dengan kabin lebih besar. Versi Extended Cab Taro ini dipasang oleh kilang Toyota di Tahara Jepun dan ia telah dipertingkatkan dengan enjin baru.
Kerjasama ini berterusan sehingga tahun 1997 dan kerjasama ini ditamatkan. Kini Toyota menggunakan logonya sendiri menerusi model Hilux untuk pasaran Eropah.
Dan menariknya, ia lebih berjaya berbanding di bawah jenama Volkswagen sebelum itu.