Modifikasi

PROTON SATRIA GTi EVO II – HERO MALAYA SEBENAR!

Selepas berjaya mengambil alih Lotus pada tahun 1996, Proton telah menggunakan kepakaran mereka untuk mewujudkan sebuah model yang lebih sukan. Nak bikin baru dah tentu makan masa. Jadi ia telah dibangunkan dari platform sedia ada, untuk menghasilkan sebuah hatchback serba lincah bernama Satria GTi.

Model ini segera mendapat perhatian peminatnya termasuk di luar negara. Menerusi perkongsian teknologi antara Proton, Lotus dan Mitsubishi, ia kekal sebagai antara produk terbaik yang pernah mereka hasilkan sehingga hari ini. Tak payah buat apa dah.

Luar kacak, aksesori premium, talaan pengendalian pun jitu, selain dibekalkan dengan enjin DOHC 1.8-liter yang agak berpotensi. Sayangnya, kekurangan dari segi teknologi menyebabkan ia jauh ketinggalan berbanding model masa kini. Jangan kata ESC bagai, bantal airbag tu pun ada sebijik jer.

BACA: PIKAP DATSUN GAYA JDM

Walaupun kebanyakan pemilik sudah berpuas hati, namun tidak untuk golongan kaki berat seperti Anba.

Nak tukar pakai 4G93T macam tak banyak beza. Dah alang-alang nak bikin, Anba sumbat terus enjin 4G63T dari EVO III. Mujur zaman tu tak banyak kerenah. Jadi ia boleh didaftarkan tanpa perlu penat bersoal jawab. Seperti biasa, beberapa perubahan penting telah dilakukan untuk menghasilkan sebuah enjin yang lebih bertenaga.

BACA: PIKAP KONSEP DARI PROTON 

Bahagian dalam enjin yang belum berpenyakit tidak Anba usik. Buat masa ini, ia hanya menerima sepasang camshaft HKS 272° serta cam pulley Works Engineering di bahagian kepala silinder.

Sistem pendesak juga masih menggunakan turbo TD05H yang asal. Ia disangkut pada manifold turbo kustom, yang turut memegang wastegate dari Turbosmart. Proses sejukan kemudian dibantu intercooler dan paip sambungan kustom. Manakala tekanan boost yang berlebihan akan dilepas keluar menerusi injap pelepas Sheep Dog.

Bagi membentuk campuran yang sempurna, bekalan bahan api dihantar oleh pam petrol Walbro. Ia kemudian dilaras menggunakan unit regulator dari Tomei. Aspek cucuhan pulak dibantu kabel pencucuh Ultra. Manakala proses pemetaan enjin, kini menggunakan unit ECU EVO VII yang boleh ditala semula.

BACA: PROTON PUTRA KUASA MIVEC

Bahagian luar terus kekal dengan rupa yang asal. Memang ini yang paling cun, tak kan nak tukar pulak. Nak kasi lebih menyerlah, beberapa bahagian penting telah digantikan dengan komponen jenis karbon fiber macam hood, fender, cermin sisi, termasuk lip depan dari R3.

Tagline ‘Handling by Lotus’ nampaknya tidak lagi memberi apa-apa makna. Ini selepas ia dilaras pada kedudukan yang agak rendah, hasil penggunaan set suspensi boleh laras dari HKS.

Merasakan kuasanya yang semakin liar, bahagian brek menerima komponen milik EVO III untuk depan dan belakang. Bagi mendapatkan rupa lebih kembang, ruang roda diisi dengan rim Enkei RPF1 bersaiz 16-inci, yang kemudiannya dipadankan bersama tayar Toyo Proxes T1R berukuran 205/50R-16 setiap satu.

BACA: CADANGAN MODIFIKASI PROTON WIRA

Sudut dalaman diperkemaskan semula menerusi penggunaan papan pemuka EVO III. Stereng yang dulunya kembung dengan beg udara, kini digantikan dengan stereng OMP lengkap bersama quick release NRG.

Tempat duduk masih Recaro, cuma diambil dari model EVO IV. Sementara aspek pemantauan pulak datang dari 3 meter Defi yang sengaja disengetkan pada sisi papan pemuka. Lagi jelas katanya.

Ketika model Proton lain makin merudum, Satria GTi masih bernasib baik dan mampu dijual pada paras harga yang tinggi. Standard kicap pun dah RM20K. Kalau dah siap jajan macam ni, lagi melantun la perginya…

Spesifikasi

Pemilik                        Anbarasan @ Anba

Pengeluar                    Proton

Model                          Satria GTi

Tahun                          2000

Enjin asal                    4G93

Modifikasi Enjin         4G63T EVO III, camshaft HKS 272°, cam pulley Works Engineering, manifold turbo kustom, wastegate Turbosmart

UltraGate 38, intercooler & paip sambungan kustom, injap pelepas Sheep Dog, pam petrol Walbro, regulator Tomei, kabel pencucuh Ultra, ECU EVO VII, radiator aloi GReddy

Transmisi                    Kotak gear manual EVO III

Ekzos                          Paip kustom Akrapovic 3-inci

Luaran                         Kit badan Satria GTi, hood, fender, cermin sisi & lip depan R3 karbon fiber

Suspensi                      HKS

Brek                            EVO III

Rim & Tayar               Enkei RPF1 16-inci & Toyo Proxes T1R 205/50R-16

Dalaman                      Papan pemuka EVO III, stereng OMP, quick release NRG, tempat duduk Recaro EVO IV, meter Defi, pemasa enjin HKS

Bengkel                       AEA Motorsport, Klang

-PAK MAUN-

GALERI

Google ads
Back to top button