KENAPA JAMBATAN BAHAYA KALAU DIBINA LURUS? KENAPA PERLU BUAT BENGKOK?
Anda pernah lalu jambatan kedua Pulau Pinang atau nama rasminya Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah? Adakah anda perasan jambatan yang sepanjang 16.9km di atas laut ini sebenarnya tidak lurus dan bengkang bengkok sedikit? Kalau diikutkan logik fikiran, adalah lebih baik kita luruskan saja jambatan ini kan
Apabila jambatan menjadi lurus, kos pembinaan RM 4.5 billion yang dibelanjakan mungkin boleh dikurangkan lagi dan dijimatkan. Tapi ini ada satu fakta yang anda perlu tahu, memandu terlalu lama di jalan yang lurus dengan pemandangan yang sama adalah sangat bahaya dan boleh menyebabkan kemalangan.
Apabila anda memandu di jalan yang lurus di lebuh raya dengan terlalu lama, anda akan melihat rail guard, jalan raya, garisan putih, garisan putus-putus, tiang lampu dan mungkin juga pokok hiasan sepanjang jalan. Pemandangan dan objek yang anda lihat ini akan terus diulang-ulang untuk satu tempoh yang lama bergantung pada jarak jalan lurus tersebut
Semakin panjang jalan tersebut, semakin banyak anda melihat objek yang berulang-ulang ini. Bagi pemandu yang memandu di atas jambatan panjang seperti Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah pada halaju 80km atau 90km/j, anda akan melihat struktur jambatan, tiang lampu, laut dan railguard sampai anda jadi bosan
Faktor kebosanan ini disebut sebagai fenomena highway hynosis. Pakar pengkaji mendapati pemandu yang terdedah pada benda yang sama ini akan menjadi mudah lesu apabila memandu di jalan lurus selama 20 minit berterusan. Apabila otak mendapati kita memandu di jalan lurus, otak akan mengurangkan feedback atau maklumat daripada mata untuk diproses
Sebaliknya otak akan memilih untuk melihat “masa depan dengan kaedah anggaran”. Ini disebabkan otak menjangkakan kita akan melihat objek yang sama untuk satu tempoh masa yang sama lagi. Disebabkan maklumat visual tidak lagi diproses oleh otak, kita akan berasa lebih tenang dan rileks, manakala tindakbalas tangan dan kaki kita akan berkurang
Fenomena highway hynosis ini juga akan mudah terjadi sekiranya badan kita menjadi lesu akibat memandu dalam tempoh yang lama. Pendedahan kepada highway hynosis, tindakbalas badan yang lambat, otak terasa kosong akan menjadi faktor utama penyebab masalah microsleep
Antara tanda-tanda anda mengalami highway hypnosis ialah rasa mengantuk terutama selepas membedal nasi kandar mamak, hilang tumpuan, berangan ketika memandu, lambat bertindak balas, dan mata menjadi berat atau mudah berkelip-kelip.
Jika situasi ini terjadi kepada penulis, maka beberapa tindakan awal akan dilakukan bagi memastikan fenomena highway hynosis ini terjadi seperti:
1. Buka dan pasang radio sekuat mungkin dan mula menyanyi. Lagu dangdut pun tibai
2. Sesekali matikan penyaman udara dan buka cermin sisi untuk ambil udara segar
3. Sediakan kopi atau minuman berkafein. Lagi bagus kalau ada gula-gula
4. Sibukkan tangan dengan makan kerepek, keropok dan apa-apa jajan
5. Matikan sistem autocruise atau adaptive autocruise
6. Masuk ke kawasan rehat dan berehat sekejap.
Jadi berbalik semula pada soalan di atas, kenapa jambatan dibuat bengkang-bengkok? Ia sebenarnya direka untuk mengelakkan jalan menjadi lurus, menyebabkan fenomena highway hypnosis yang akhirnya akan menyebakan microsleep dan seterusnya kemalangan.
Jika kemalangan berlaku di atas jambatan di atas laut, usaha menyelamat akan menjadi sangat sukar dan peluang untuk selamat adalah tipis. Jalan yang bengkang bengkok akan menyebabkan otak kita tidak akan memasuki fasa jangkaan. Kita akan sentiasa menanti-nanti apakah objek yang muncul di sebalik selekoh nanti dan menghindari masalah highway hypnosis.