Buletin

ISUZU MALAYSIA LANCAR LAMAN WEB INTERAKTIF, BELI D-MAX DENGAN LEBIH MUDAH

Trak terkenal Isuzu D-Max terbaru dilancarkan ketika negara berdepan pandemik COVID-19. Keadaan itu memaksa Isuzu  untuk melakukan perubahan berkaitan cara membawakan model baru kepada pelanggan berpotensi.

Dalam usaha untuk menyesuaikan cara kerja dengan situasi ini, Isuzu Malaysia perlu sentiasa bersedia untuk beradaptasi demi  memenuhi keperluan dan permintaan pelanggan.

Jadi, antara langkah yang telah diambil oleh Isuzu Malaysia adalah membangunkan pengalaman baru secara dalam talian menerusi laman web pickuptruck.isuzu.net.my. Pengunjung akan dihidangkan dengan pameran augmented reality 360-darjah yang menawarkan perincian mendalam terhadap rekaan dan kelengkapan D-Max sebelum pelanggan berkunjung ke bilik pameran.

Hampir semua alat bantu pembelian seperti pengira pinjaman hinggalah kepada kos penyelenggaraan tersedia secara interaktif. Ini membolehkan anda untuk membuat pilihan berdasarkan maklumat yang tepat sebelum temujanji dalam talian untuk slot pandu uji dibuat. Lebih menarik, kenderaan terbabit akan dibawa kepada anda ke lokasi pilihan yang selamat.

Sambutan yang diterima oleh Isuzu D-Max baru menyaksikan peningkatan mendadak tempahan sejak tiga bulan lalu. Sekali gus membolehkan Isuzu berada di kedudukan kedua dalam carta jualan walaupun ketika pelaksanaan kawalan pergerakan.

Dengan 500 tempahan D-Max sebulan, tugas untuk menyerahkan semua unit berkenaan secara selamat kepada pemilik adalah lebih penting. 

“Disebabkan peraturan operasi perniagaan yang lebih ketat, terutama yang melibatkan logistik sejak beberapa bulan sebelum ini, usaha utama kami selepas ini adalah untuk menyerahkan kenderaan baru terbabit dengan cara paling selamat kepada pemilik dan dalam masa seberapa cepat yang mungkin. 

“Kami berharap semua pelanggan kekal bersabar serta mematuhi semua SOP yang telah ditetapkan bagi memastikan keselamatan dan menjamin pengalaman yang lebih menyenangkan untuk semua,” kata Ketua Pegawai Operasi Bahagian Kenderaan Perdagangan Ringan Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo. 

Prosedur servis dan penyelenggaraan kenderaan juga telah diperbaharui bagi meminimumkan tempoh menunggu. Selain memastikan aliran jumlah kenderaan yang diterima untuk diservis dalam satu-satu masa dapat diuruskan dengan cekap. Pelanggan digalakkan untuk membuat temu janji servis lebih awal untuk mendapatkan slot yang diinginkan.

Google ads
Back to top button