Artikel Pilihan

KENAPA SUV/CROSSOVER KENA ADA PLASTIC CLADING? HIASAN SEMATA-MATA?

Penulis sudah lupa, mungkin 15 tahun yang lepas penulis pernah ternampak satu majalah permotoran antarabangsa dengan beberapa iklan kereta yang dijual di sana. Ya kereta tersebut tidak dijual di pasaran Malaysia, tapi diiklankan dengan beberapa pemanduan lasak di laluan yang tidak berturap

Iklan tersebut berbunyi setelah diterjemahkan dalam bahasa melayu “jurutera kami sentiasa mencari jalan agar permukaan cat di kawasan yang terdedah pada permukaan tanah, lumpur, batu kerikil dan salji sentiasa berkilat dan bertahan sekuat mungkin selama beberapa tahun. Ini memastikan kenderaan anda nampak berkilat selepas melalui jalan lasak”

Ketika itu sebut sahaja kenderaan yang sesuai untuk jalan lasak maka anda akan terbayang Mistubishi Storm ataupun Pajero yang dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda. Semakin berlumpur kereta ini, nampak macho dan juga lasak. Bukan seperti 4×4 zaman sekarang yang acah-acah lasak dengan tayar besar waima masuk kebun durian pun tak pernah.

Disebabkan tak semua pemandu perlukan kenderaan lasak 4×4, maka genre SUV/crossover dicipta yang dihasilkan daripada platform sedan, dipasang dengan pacuan semua roda AWD yang berasaskan klac, dan memiliki jarak ketinggian yang lebih daripada sedan bagi memudakan pemilik melalui jalan yang tidak berturap.

Sasaran pengeluar ialah bukannya taukey balak atau kebun durian, tapi pemandu yang sukakan aktiviti alam seperti berkhemah, memancing, berkelah, berbasikal lasak yang kawasan tumpuannya ialah kawasan yang sukar sedikit untuk dicapai dengan kenderaan biasa dengan akses jalan yang kurang sempurna, berlopak, berlumpur dan juga berbatu

Dengan jarak kelegaan yang tinggi serta AWD, maka pemilik boleh ke tempat ini dengan senang tapi ini menjadikan kenderaan mereka kotor dengan lumpur. Tiada masalah dengan lumpur, tapi jika anak batu kerikil dan juga pasir yang “ditembak” daripada tayar boleh menyebabkan permukaan cat terutama di bahagian bawah menjadi rosak, calar halus, dan kemik.

Jadi cara yang paling mudah untuk memastikan bahagian ini terlindung, maka penutup plastik atau plastic clading dipasang di bahagian bawah pintu depan, pintu belakang serta wheel arch. Mungkin, ini adalah satu langkah yang lebih baik daripada menggunakan cat yang lebih mahal kerana cat tidak boleh melindungi daripada kemik.

Plastic clading ini juga lebih murah untuk dihasilkan, mengurangkan bunyi tayar ketika dipandu (tyre noise), melindungi permukaan daripada garam air laut (jika ke pantai) dan juga air hujan yang mengandungi hujan asid. Sekiranya permukaan ini rosak, ia lebih mudah untuk digantikan berbanding panel aluminium/keluli kenderaan. Ia juga tidak perlu dicat semula bagi memastikan permukaan ini tiada masalah colour matching dengan panel badan yang lain

Jadi kenapa Subaru WRX dipasang dengan plastic clading? Mungkin kerana model WRX ini diasaskan untuk perlumbaan rali yang berlumba di atas permukaan jalan kerikil yang menyebabkan batu terpercik pada panel badan. Jadi pemilik Subaru WRX boleh membawa terus kereta mereka untuk berseronok terus di atas jalan tidak berturap tanpa perlu memikirkan masalah cat tertanggal atau permukaan panel badan yang kemik.

Mungkin juga habis modal nak buat rekaan baru….

Google ads
Back to top button