Buletin

KEPUTUSAN BOLEH BALIK BERAYA ATAU TIDAK BAKAL DIUMUM AWAL PUASA

Kerajaan dijangka mengumumkan keputusan sama ada membenarkan rakyat merentas negeri sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini atau sebaliknya lebih awal.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan kebenaran rentas negeri akan hanya dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) selepas kementerian itu membuat penilaian risiko.

Beliau menjangkakan pengumuman itu akan dapat dibuat pada awal bulan puasa nanti.

“Kerajaan akan umum sama ada boleh atau tidak dalam waktu terdekat, kita pun tidak hendak ganggu orang balik kampung, hendak beli tiket kapal terbang atau bas.

“Saya akan minta KKM supaya buat pengumuman lebih awal boleh atau tidak. Maka rakyat boleh bersedia. Bulan puasa saya akan beritahu kepada Ketua Pengarah KKM tampil dengan pengumuman, cadangan. Ini dibawah KKM sebab mereka yang buat penilaian,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja ke Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di sini hari ini.

Jelas Ismail Sabri lagi, kerajaan tidak mahu kewujudan 31 kluster balik kampung berulang apabila rentas negeri dibuka seperti tahun lalu.

Pada 27 Mac lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu kerajaan akan meneliti kebenaran untuk merentas negeri dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini. Namun perkara itu akan diputuskan sebaik sahaja semua data berkaitan dianalisis oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). – Astro Awani

Google ads
Back to top button