
KERETA BERENJIN KECIL & TURBO KUAT MINYAK? SILA UBAH CARA ANDA MEMANDU
Anda tengok satu iklan kereta yang mendakwa enjin kereta tersebut dengan walaupun kecil tapi bila dipasang dengan teknologi turbo mampu memberikan penjimatan bahan api yang baik dan juga tork yang tinggi pada RPM enjin yang rendah.
Jadi anda pun beli kereta tersebut dan berharap ia memberikan penjimatan bahan api seperti yang diiklangkan. Malangnya anda langsung tidak mencapai angka yang diiklankan tersebut, malah berganda-ganda lagi kuat penggunaan bahan api.
Tork yang dihasilkan memang kuat dan masuk pada RPM awal, tapi pada RPM yang tinggi ia mula kehabisan tenaga dan tidak lagi mampu bersaing dengan enjin yang lebih besar dan menghasilkan kuasa yang lebih tinggi. Anda tekan rapat pedal minyak sampai ke lantai pun seperti ia tidak cukup berkuasa.
Sebab utama enjin dikecilkan ialah “enjin dengan saiz yang kecil membebaskan kurang gas karbon dioksida berbanding dengan enjin bersaiz besar. Sebagai bonus, anda dapat mengurangkan penggunaan bahan api berbanding dengan enjin bersaiz besar“.
Kelemahan enjin bersaiz kecil ialah “tork yang dihasilkan amat lemah pada RPM rendah, menjadikan prestasi kereta lemau“. Bagi mengatasi masalah kekurangan tork pada RPM rendah, turbo dipasang bagi menghasilkan tork yang tinggi pada RPM rendah dan turbo yang diberikan biasanya turbo bersaiz kecil.
Turbo ini hanya menghasilkan tekanan atau boost pada RPM yang rendah dan saiznya menghadkan penghasilan tork pada RPM yang rendah sahaja. Jadi anda akan lihat tork yang dihasilkan walaupun tinggi hanya mampu bertahan pada RPM pertengahan sahaja.
Sebagai contoh enjin 3 silinder 1000cc 1KR-VET yang digunakan oleh Perodua Ativa menghasilkan tork maksima 140Nm dari 2400-4000 RPM. Enjin 3 silinder 1000cc HR10DET yang digunakan oleh Nisan Almera menghasilkan tork maksima 152Nm dari 2400-4000 RPM.
Tork yang tinggi pada RPM yang rendah ini memudahkan anda memotong kenderaan perlahan dan juga mendaki bukit, bukan untuk dipandu dengan halaju yang tinggi. Tapi menggunakan turbo pada enjin bersaiz kecil ini juga sebenarnya ibarat menggunakan sebilah pisau dengan 2 belah mata.
Ia menghantar tork yang tinggi pada RPM awal memberi anda harapan palsu, memujuk anda untuk terus menekan pedal minyak pada halaju tinggi. Sedangkan ia sudah beroperasi di luar parameter yang ditetapkan. Mungkin untuk terus pergi laju ia perlu beroperasi melebihi 4000 RPM.
Ketika ini anda terus menekan pedal minyak, memaksa lebih banyak udara dan bahan api masuk untuk dibakar bagi menghasilkan tenaga. Enjin boleh terus menghasilkan kuasa kuda yang diperlukan, tapi ia tidak akan lagi beroperasi dengan efisyen

Ia beroperasi di luar julat brake spesific fuel consumption bsfc dengan penggunaan bahan api yang tinggi. Malah lebih memburukkan keadaan ialah fenomena knocking yang berlaku disebabkan suhu kebuk pembakaran menjadi tinggi.
Sesetengah ECU kereta direka supaya menghantar lebih banyak bekalan petrol bagi menyejukkan kebuk pembakaran bagi mengelakkan knocking. Maka enjin bersaiz kecil yang sepatutnya menjimatkan bahan api berubah menjadi seperti naga api, kuat melahap bahan api.
Cara paling baik untuk penjimatan bahan api bila anda memandu kereta dengan enjin turbo ialah anda kena ingat saiz enjin asal yang digunakan. Kalau anda memandu enjin 1000cc 3 silinder dengan turbo, ingat ia hanya bersaiz 1000cc sahaja. Turbo hanya digunakan untuk memotong dan mendaki bukit
Cuba kekalkan halaju kereta pada keadaan yang sesuai dengan saiz enjin asal. Sebagai contoh enjin 1000cc tanpa turbo mungkin paling efisyen jika dipandu dengan halaju sekitar 80-100km/jam. Atau jika anda memandu di lebuhraya, cuba pandu di bawah 110km/jam.
Kalau anda pandu kereta dengan enjin 1500cc turbo, mungkin halaju yang sesuai dan penggunaan bahan api paling rendah ialah antara 100-120km/jam. Sekali lagi penulis ingatkan, bukan tak boleh pandu laju tapi ia akan memaksa enjin bekerja dalam keadaan tidak efisyen dan menjejaskan penggunaan petrol
Kebanyakan enjin turbo yang moden juga dipasang dengan transmisi CVT. Salah satu sifat semulajadi CVT ialah ia cuba merendahkan ratio supaya enjin sentiasa beroperasi pada RPM rendah pada julat BSFC yang terbaik.
Maka tidak hairan kalau kereta moden enjin turbo dengan CVT boleh dipandu pada halaju 80km/jam pada 1500 RPM. Malah ada juga yang boleh dipandu dengan selamba pada 110km/jam dengan bacaan 2000 RPM sahaja.
Jadi gabungan CVT dan dengan mengubah cara pemanduan anda dengan memandu lebih berhemah dan bukan selalu menekan pedal minyak rapat ke lantai akan menjadikan penggunaan bahan api menjadi lebih bagus dan efisyen.
Sebagai contoh, dalam satu hantaran dalam media sosial seorang pemilik Perodua Ativa berupaya mencatatkan penggunaan petrol sekitar 19.3km/liter petrol apabila dipandu dengan halaju sekitar 80-90km/jam untuk perjalanan jarak jauh. Malah ada yang dapat 21km/liter
Bagi perjalanan yang hampir sama, penulis berjaya mencatatkan bacaan sekitar 16km/liter pada halaju malar 120km/jam. Di sini anda boleh lihat bahawa bagi enjin bersaiz kecil, penggunaan petrol adalah paling bagus pada halaju yang lebih rendah.
Namun ini merupakan satu masalah yang besar pada penulis, memang mengantuk bila memandu bawah 100km/jam

