
CARDO PACKTALK EDGE. INTERKOM TERCANGGIH DI PASARAN
Bagi mereka yang kerap menyertai konvoi bermotosikal, komunikasi adalah satu benda yang sangat penting.
Kalau dulu, isyarat diguna menggunakan tangan (dan kaki), dengan teknologi hari ini, kini membolehkan kumpulan bermotosikal sentiasa berhubung. Terima kasih pada sistem interkom tanpa wayar yang semakin banyak pilihan di pasaran.
Sebagai antara peneraju sistem ini, Cardo sekali lagi hadir dengan produk tercanggih mereka Packtalk Edge. Jika anda rasa sistem Packtalk Bold sebelum ini dah cukup lengkap, Edge mendefinisikan komunikasi ke satu tahap yang lebih tinggi.

Menggunakan pembesar suara dari JBL yang telah dipertingkatkan, Edge datang dengan sistem Air Mount yang lebih mudah digunakan untuk memasang dan menanggalkan unit utamanya dari helmet anda.
Model baru ini sudah tidak lagi datang dengan antena, baterinya mampu bertahan sehingga 13 jam sekali cas, selain diperbaharui dengan pengecasan pantas menerusi sambungan USB Type C.
Packtalk Edge boleh disambungkan sehingga 15 unit serentak. Sambungan boleh dibuat menggunakan bluetooth 5.2 ataupun menerusi teknologi Cardo Dynamic Mesh Communication (DMC) dan capaian hubungan ini boleh menjangkau sehingga 1.6 kilometer.

Ya, kalau anda ke konvoi sampai ke Thailand, memang alat begini sangat membantu dalam konvoi berkumpulan.
Macamana kalau ada 2, 3 helmet? kena beli 2, 3 set?
Tak perlu, Edge didatangkan dengan pek “mounting kit” yang membolehkan unit utama dipindahkan kepada mana-mana helmet yang anda suka.
Untuk komunikasi dua hala pula, kami dimaklumkan oleh pengedarnya Sinar Puncak Sdn. Bhd., bahawa unit 2 pack akan tiba beberapa bulan lagi. Buat masa ini, hanya pek tunggal sahaja yang ditawarkan di pasaran.
Harga? RM1,649 sahaja dan mount kit tambahan RM529 jika anda ada lebih helmet. Nak beli 10 mounting kit pun tak ada siapa nak marah.
GALERI




