Buletin

KERETA NASIONAL KETIGA? ELEKTRIK? MURNI? CHINA? APA SEBENARNYA NI?

Beberapa hari lepas, rakan-rakan media automotif kami di Paultan.org, futasticko.net dan careta.my memuatnaik berita ini yang mungkin dianggap sinar baru dalam industri automotif tempatan.

Sebuah syarikat yang bernama DSK Industry telah mengumumkan pelancaran terbaru mereka – sebuah kereta elektrik yang diberi nama MURNI.

DSK telah mengumumkan pelancaran EV (Electric Vehicle) yang pertama di negara ini. Syarikat itu telah menampilkan sebuah kereta di laman webnya, yang dinamakan, MURNI. Selain  itu, pembuat kereta itu juga mendakwa mereka sebagai “pengeluar kereta kebangsaan Malaysia ketiga”.

Dari segi rekabentuk, ia kelihatan moden dengan lampu LED, lampu DRL berbentul “C” dan dua lampu belakang LED yang tipis di belakang.

Menerusi foto yang dimuatnaik di laman web mereka (Sebelum bertukar kepada maintenance mod) ia didatangkan dengan unit skrin sentuh 10 inci dengan panel instrumentasi digital lapan inci.

Namun agak meragukan apabila sebuah kereta yang dikatakan buatan tempatan menampilkan foto dalaman dengan stereng pemanduan sebelah kiri.

Kereta ini didakwa dilengkapi dengan sistem kereta pintar D·OS, yang mana DSK memberitahu bahawa ia sistem yang mereka bangunkan sendiri. Antara teknologi canggih yang lain ialah sistem pengenalan wajah yang membantu membuka kunci dan menghidupkan kereta.

KERETA BUATAN MALAYSIA?

Membina kereta elektrik dengan teknologi kosong tanpa bantuan mana-mana pakar industri adalah menjadi satu impian yang hampir mustahil. Melainkan anda sebuah syarikat yang sangat kaya seperti Tesla.

Tidak perlu pergi jauh di zaman teknologi maklumat ini di mana semakan terhadap imej MURNI ini menemukan subjek yang sama di Tanah Besar China. Sebuah kereta elektrik keluaran Kumpulan FAW menerusi subsidiari mereka SiTech.

Model yang dikenali sebagai DEV1 tersebut dipadankan dengan motor elektrik berkapasiti 55kW, yang mampu memecut dari 0 hingga 50 km/j dalam 4.8 saat. Motor tersebut menghasilkan tork puncak 170 Nm dan kenderaan ini secara keseleluruhannya seberat 1,120 kg.

Murni dilengkapi dengan bateri 100,000 mAh dan hanya memerlukan masa 40 minit untuk mengisi semula bateri melalui pengecas AC 6.6 kW. Walau bagaimanapun, bateri mengambil masa 5.5 jam untuk mengisi semula melalui pengecas biasa. Satu cas penuh mampu membawa kenderaan ini sejauh 350 km.

Spesifikasinya memang menarik dan walaupun ia dibuat di negara yang terkenal dengan kos yang murah, DEV1 dijual pada harga kira-kira RM60,000.

…………………………………………………………………………………………..

APA YANG DIKETAHUI SETAKAT INI?

Sejak semalam, laman web DSK Industry tidak lagi dapat diakses dan ia diletakkan dalam mod penyelenggaraan. Tiada maklumat yang boleh didapati namun menurut maklumat sebelum ini, mereka mendaftarkan nombor telefon dengan nombor telefon Singapura.

Semakan dengan pautan media sosial facebook pula mendapati MURNI dipromosikan oleh laman yang bernama Autod Singapore.

Kami terus mencari maklumat tambahan di laman-laman web niaga yang berkaitan. Tiba-tiba muncul imej di laman LinkedIn DSK Industry dengan perincian ini ”

About us

DSK Industry by Republic Motor Sdn Bhd a Newly Startup Malaysia Electric Vehicle Manufacturer. Bringing an affordable and reliable electric vehicle for domestic use.

Kami cuba mencari menerusi kata kunci yang berbunyi seperti syarikat yang diaftarkan di Malaysia iaitu Republic Motor Sdn Bhd. Apa yang diperolehi ialah, syarikat ini beroperasi di alamat Johor Bahru.

Semakan lanjut pula menemukan kami dengan satu lagi nama yang mirip tetapi berpangkalan di Singapura bernama Republic Motor Pte Ltd yang merupakan sebuah kedai motosikal. Tak pasti samada ia berkaitan atau tidak.

Di laman LInkedIn juga disertakan dengan beberapa pautan video dan sekeping foto dari sisi MURNI. Dan apa yang agak melucukan terdapat kesalahan ejaan. MADE INLAYSIA yang sepatutnya dieja sebagai MADE IN MALAYSIA.

Sehingga setakat ini, itu sahaja maklumat yang ada dan jika benar DSK Industry sudah menghasilkan kereta elektrik pertama negara ia adalah permulaan yang bagus. Sekurang-kurangnya ada yang berusaha untuk menampilkan teknologi ini ke pasaran massa dan diharapkan dijual dengan harga yang kompetitif.

GALERI

Tags
Google ads
Back to top button