Buletin

MYVI TERLANGGAR KERETA PERONDA KETIKA BUAT PUSINGAN U – NETIZEN GARU KEPALA

Seorang anggota polis disaman kerana cuai ketika membuat pusingan U sehingga menyebabkan kereta pasukan yang dipandunya, terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan lain.

Kejadian berlaku di Jalan PJS 3/9 Petaling Jaya, ketika anggota terbabit sedang dalam tugas rondaan cegah jenayah di sekitar kawasan pentadbiran Balai Polis Petaling Jaya.

Menerusi rakaman video, kemalangan itu membabitkan sebuah kenderaan milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) jenis Honda Civic dengan sebuah Perodua Myvi di Jalan PJS 3/9.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, laporan kejadian itu diterima Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada jam 12.18 tengah hari.

“Siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila kenderaan pasukan yang dipandu di lorong kiri dari dua lorong jalan itu membelok ke kanan untuk membuat pusingan U.

“Tindakan itu menyebabkan Perodua Myvi yang berada di lorong kanan jalan tidak sempat mengelak lalu terlanggar sebelah sisi kanan kenderaan polis terbabit,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, satu kertas siasatan dibuka dan tindakan saman akan dikeluarkan kepada pemandu kereta polis berkenaan atas kecuaiannya semasa memandu.

Terdahulu, beberapa gambar serta rakaman video berdurasi 28 saat itu telah tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi dari netizen.

“Macam mana rakyat nak ikut law, kalau ada jenis macam ni,” ciap seorang pengguna Twitter.

“Kenapa mesti king jugak, tak kisahlah siapa yang salah. Tapi kenapa mesti Myvi,”

Komen pengguna lain, “Aku sebagai orang awam, tak berani halang atau dekat dengan kenderaan yang jenis ada lampu liplap atas bumbung diaorg nih. Lelagi time lampu tu nyala tambah pula dengan siren.” – Free Malaysia Today

Google ads
Back to top button