Artikel Pilihan

KESILAPAN TIDAK SENGAJA, BILA TUKAR PEMANDUAN SEBELAH KIRI KEPADA PEMANDUAN SEBELAH KANAN

Seperti yang kita sedia maklum, semua kereta di dunia hari ini boleh dibahagikan kepada 2 jenis pemanduan samaada sebelah kanan ataupun di sebelah kiri. Kebanyakan negara Komanwel, Jepun dan hampir semua negara Asia Tenggara mengguna pakai pemanduan sebelah kanan, sama seperti yang diamalkan oleh United Kingdom.

Bagi negara lain seperti benua Eropah, Amerika dan China pula menggunakan pemanduan di sebelah kiri. Tapi ini bukan bermakna kita tidak boleh membeli atau mengimport kereta dengan pemanduan sebelah kiri untuk dipandu di negara kita kerana kereta pemanduan sebelah kiri boleh diubah menjadi pemanduan sebelah kanan

Kalau tidak, masakan kita boleh membeli dan memandu kereta yang asalnya pemanduan sebelah kiri seperti BMW, Mercedes, Peugeot, Alfa Romeo dan pelbagai jenama Continental. Tapi adakah anda perasan, terdapat beberapa isu yang terjadi jika kereta pemanduan sebelah kiri diubah menjadi pemanduan sebelah kanan.

Antara isu tersebut ialah:

1. Tuil isyarat membelok – suis lampu signal yang asalnya berada di sebelah kanan akan berpindah ke sebelah kiri roda stering. Jika anda biasa memandu kereta yang tuil signal berada di sebelah kanan, kali pertama anda memandu kereta Continental anda akan terpasang pengelap cermin depan.

Nampak macam kelakar kan, tapi ia boleh merisikokan pengguna jalan raya yang lain. Mungkin ini sebabnya kebanyakan pemandu di Malaysia tidak menggunakan lampu isyarat membelok. Mungkin keliru dengan kedudukan suis lampu isyarat yang sebenar.

2. Cermin sisi – tahukah anda sudut cermin sisi di kiri dan kanan kereta adalah tidak sama? Keadaan ini disebabkan sudut perumah cermin sisi di bahagian penumpang (kanan) akan lebih rapat ke arah kereta, khusus untuk melihat ke arah dalam kereta terutama kalau ada motor dibahagian sisi kanan. Manakala sudut cermin kiri lebih besar.

Ini bagi kereta yang asalnya dijual di pasaran pemanduan sebelah kiri. Ada beberapa syarikat yang terlupa mengambil kira faktor ini apabila membuat penukaran pemanduan sebelah kiri ke sebelah kanan untuk dijual di Malaysia. Akibatnya anda akan perasan ada titik buta di sebelah kanan kereta.

3. Glovebox kecil – atau ruang simpanan barang yang dipasang pada papan pemuka kereta di sebelah penumpang. Asalnya ruang ini digunakan untuk memasang perkakasan stering, alat elektronik, dan beberapa komponen lain

Bagi tujuan mengurangkan kos, perkakasan ini tidak dipindahkan ke bahagian dan kekal di sebelah kiri. Keadaan ini menyebabkan glovebox terpaksa dikecilkan dan kalau anda perhatikan, kadangkala glovebox Myvi lagi besar

4. Hand grip – atau pemegang tangan bagi memudahkan penumpang depan berpaut sewaktu memasuki kereta. Pemandu pula tidak disediakan ciri ini kerana biasanya pemandu berpaut pada roda stering sewaktu masuk dan duduk dalam kereta.

Apa yang kelakarnya, sewaktu membuat penukaran pemanduan kiri ke pemanduan kanan ada pengeluar terlupa untuk menukar handgrip dari kanan ke kiri. Jadi handgrip ini kekal di ruang pemandu di sebelah kanan, padahal fungsinya adalah untuk penumpang depan berpaut.

5. Tuil pembuka ruang enjin – ini pula contoh terakhir dimana mungkin disebabkan kos, tuil pembuka hud depan atau ruang enjin kekal di bahagian kiri ruang penumpang depan dan bukannya dipasang di sebelah kanan di ruang pemandu.

Praktis ini tidak salah cuma akan menjadi pelik dan membuatkan orang akan tertanya-tanya kenapalah susah sangat nak pindahkan tuil ini dari bahagian kiri ke kanan kereta.

Contoh yang kami nyatakan bukanlah menjadi masalah besar sekiranya anda memang minat dengan model tersebut. Lama-kelamaan sifat yang pelik ini akan diterima oleh anda dan anda akan membina motor memori di bahagian otak anda

Tak perlu fikir dimana suis, tombol atau komponen ini berada dan tangan anda tahu dimana nak buka tanpa perlu bersusah payah. Mungkin untuk kali pertama melihat atau merasai kereta ini, anda akan rasa pelik sedikit.

Google ads
Back to top button