Buletin

KETIDAKSTABILAN POLITIK, JUALAN KERETA DI THAILAND MENURUN

Kelewatan dalam membentuk kerajaan baharu memberi tamparan kepada industri automotif Thailand, di mana ia kini bergelut dengan jualan kereta yang perlahan di pasaran domestik pada separuh pertama tahun ini.

Ketidaktentuan politik menyebabkan pelanggan berkira-kira untuk membeli kenderaan kerana mereka mahu melihat dasar ekonomi baharu kerajaan campuran sebelum membuat sebarang keputusan.

Masalah ini akan membuatkan jualan kereta lebih rendah, disebabkan oleh kriteria institusi kewangan yang lebih ketat apabila memberi pinjaman kepada pembeli kereta kerana kebimbangan terhadap kenaikan kadar faedah dan tahap hutang isi rumah.

Menurut Presiden Toyota Motor Thailand, Noriaki Yamashita, isu pinjaman, bersama-sama dengan ketidaktentuan ekonomi Thailand, dijangka menjejaskan industri automotif pada separuh kedua 2023.

“Faktor-faktor ini bukan sahaja menjejaskan operasi perniagaan malah menjejaskan keyakinan pengguna terhadap ekonomi Thailand,” katanya.

Dari Januari hingga Jun, jualan kereta domestik tahun ke tahun Thailand turun 5 peratus kepada 406,131 unit.

Toyota menyaksikan jualan keretanya di Thailand jatuh sebanyak 3.6 peratus tahun ke tahun kepada 136,859 unit pada separuh pertama tahun ini.

Walau bagaimanapun, syarikat itu masih mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran sebanyak 33.7 peratus.

Eksport keretanya dalam tempoh enam bulan ini turut meningkat 10 peratus tahun ke tahun kepada 190,491 unit.

Untuk keseluruhan 2023, Toyota menjangkakan jumlah jualan kereta Thailand mencapai 855,000 kereta, peningkatan hanya 0.7 peratus berbanding tahun lepas.

Untuk rekod, sasaran jualan domestik Toyota ialah 291,000 unit tahun ini, meningkat 0.8 peratus daripada tahun lepas.

Google ads
Back to top button