Buletin

TOYOTA CATAT HASIL JUALAN 5.42 JUTA KENDERAAN PADA SEPARUH PERTAMA 2023 – ATASI VOLKSWAGEN

Toyota dijangka menjadi penjual kereta terbaik dunia pada separuh pertama 2023, mengatasi Volkswagen dan pesaing lain dalam tempoh Januari-Jun untuk tahun keempat berturut-turut.

Toyota berjaya menjual 5.42 juta kenderaan di seluruh dunia dalam tempoh enam bulan (Januari-Jun), termasuk pembuat kenderaan kecil kumpulan Daihatsu serta Hino, meningkat 5.5 peratus beranding tahun sebelumnya.

Menurut Toyota, jualan kukuh itu dicapai kerana syarikat telah meningkatkan kapasiti pengeluaran di seluruh dunia walaupun dilanda masalah kekurangan cip.

Untuk rekod, pengeluaran global Toyota meningkat 10.3 peratus kepada rekod 5.63 juta unit, sementara, pengeluarannya di luar Jepun juga mencecah paras tertinggi sepanjang masa sebanyak 3.53 juta kenderaan, meningkat 4.9 peratus.

Manakala, jualan domestik turut meningkat 26.9 peratus kepada 1.21 juta kenderaan dalam tempoh sama.

Tambahan, jualan luar negara meningkat 0.6 peratus kepada 4.21 juta kereta kerana pertumbuhan di Eropah sebahagiannya diimbangi oleh jualan lebih lemah di China.

Pesaing terdekat Toyota, Volkswagen bagaimanapun berhasil mencatatkan rekod hasil jualan sebanyak 4.37 juta kenderaan dalam tempoh sama, meningkat 12.8 peratus.

Awal tahun ini, Toyota mengalami perubahan yang jarang berlaku dalam kepimpinan diikuti dengan kempen publisiti untuk meningkatkan sentimen orang ramai terhadap strategi kenderaan elektrik selain, meyakinkan para pemegang saham bahawa ia akan menepati janji untuk mengembangkan pengeluaran EV berasaskan bateri.

Pada separuh pertama 2023, jualan EV bateri global meningkat 517 peratus berbanding tahun lepas kepada 46,171 kereta.

Pembuat kereta terbesar dunia itu berjanji untuk menjual 1.5 juta BEV setiap tahun menjelang 2026. Namun, pengeluar Jepun itu berpendapat dunia belum bersedia untuk peralihan kepada EV.

Melihat kepada kejayaan BYD serta Tesla, Toyota kini harus meningkatkan permainan mereka dalam segmen EV sebelum semakin ketinggalan dan mengecewakan ramai pihak.

Google ads
"
"
Back to top button