
KHAS BUAT PEMILIK TOYOTA 2000GT, TOYOTA BUAT SEMULA ALAT GANTI TULEN!
Istimewa buat pemilik model legenda Toyota 2000 GT, TOYOTA GAZOO Racing (TGR) mengumumkan satu berita menarik iaitu penghasilan semula alat ganti yang akan dijual di pasaran Jepun dan luar negara.
Pengeluaran semula di bawah Projek Alat Ganti Warisan GR melibatkan komponen yang sudah tiada di pasaran dan dijual sebagai alat ganti tulen buat pemilik yang mahu terus memandu model legenda itu.
Ini adalah kesinambungan kepada pengumuman yang dibuat pada Mei 2019 bagi mengeluarkan semula alat ganti Supra A70 dan A80.
Menyoroti sejarah, Toyota 2000GT merupakan kereta sport yang dilancar pada 1967 hasil kerjasama Yamaha Motor Co., Ltd. Model ini sangat terhad dan hanya dikeluarkan sebanyak 337 unit sahaja.
Toyota 2000GT dibangunkan dengan teknologi terkini Jepun di antaranya enjin 2.0 liter DOHC enam silinder sebaris, suspensi double-wishbone, empat brek cakera, tayar jenis radial, roda aloi magnesium dan lampu depan yang boleh disimpan buka.
Prestasinya luar biasa dengan kelajuan maksimum mencecah 220 km/j dan setara dengan kereta sport Eropah pada masa itu.
Sebelum pelancaran, Toyota 2000GT digunakan untuk ujian kepantasan dan walaupun dalam keadaan cuaca dengan taufan menghampiri, kereta ini menetapkan tiga rekod dunia (10,000 batu, 15,000 km, 72 jam) dan 13 rekod antarabangsa.
Toyota 2000GT juga memperolehi banyak kejayaan dan kedudukan cemerlang di dalam pelbagai perlumbaan dan merupakan kereta sport terkenal di dunia buat Toyota.
Usaha sedang dijalankan untuk kerjasama khas dengan pembekal selain dari kilang Toyota dan bahagian berkaitan sebagai persediaan untuk pengeluaran semula alat ganti.
Bermula 1 Ogos 2020, maklumat mengenai program ini akan dipaparkan di laman web TGR termasuk penerimaan pesanan dari pelanggan.
Selain itu, alat ganti juga boleh dibeli dari pengedar Toyota dengan kaedah yang sama seperti alat ganti tulen.
Pembelian bagaimanapun tidak mudah, alat ganti yang ditawarkan eksklusif untuk pemilik sahaja untuk mengelak jualan semula manakala jumlah alat ganti yang dijual dihadkan bagi setiap kereta.
Berikut ialah alat ganti yang ditawarkan untuk transmisi lima kelajuan manual:
- Transmisi: Gear, hub synchro dan sleeve, gasket dan kit kedap minyak (oil seal), kit galas (bearing), kit snap ring, sesendal tujah (thrust washer) dan shift fork.
- Differential: Kit gear akhir, set bolt gear gelang (ring gear).
Selain itu, Toyota turut mengumumkan alat ganti untuk Supra A70 iaitu tolok penghantar bahan api (fuel sender gauge) dan pembuka pintu (termasuk Supra A80) boleh dipesan melalui pengedar Toyota di Jepun dan luar negara bermula 1 Julai 2020.
BACA: TOYOTA GR YARIS RS, ENJIN 1.5L 3 SILINDER DAN CVT
BACA: PADA 2008 TOYOTA iQ DIPERKENAL, KERETA KECIL TANPA 660CC TURBO
BACA: TOYOTA COROLLA HB LIMITED EDITION USDM, LAWA TAK?
Kredit foto: Toyota