Buletin

KIA SOUL – KERETA YANG ADA SOUL DI AMERIKA SYARIKAT KINI MASUK GEN KE-3

Kia memang banyak kereta hebat lebih-lebih lagi apabila varian GT dipasarkan kepada umum. Ada Picanto GT, Optima GT tetapi yang paling hebat sekali semestinya Stinger GT dengan pacuan roda belakang dan dibangunkan di Nurburgring, Jerman.

Selain kereta untuk pasaran massa Kia juga mempunyai model funky yang dikenali sebagai Soul (Seoul). Model ini begitu popular di Amerika Syarikat dan dari Januari hingga Ogos 2017 adalah kedua terlaris selepas Forte.

Berdasarkan rekod jualan dalam tempoh tersebut Forte telah terjual sebanyak 81,461 unit manakala Soul pula sebanyak 80,228 unit.

Menariknya, jualan Soul agak selesa di hadapan model ketiga terlaris iaitu Optima sebanyak 74,722.

Model generasi pertama Soul dipasarkan di AS pada tahun 2009 dan produksi kumulatif temasuk generasi kedua telah pun mencecah angka sejuta unit pada tahun 2015.

Pembeli di AS memang menggemari model ini di mana dari tahun 2011 sehingga 2016, lebih 100,000 unit Soul terjual setiap tahun.

Jadinya apabila model generasi pertama dan kedua mendapat sambutan semacam jadi satu tekanan pula untuk meneruskan kejayaan.

Tetapi sebelum itu pelik juga kenapa Soul begitu popular di AS, mungkin sebab bentuknya yang unik dan praktikal. Jarang model dengan bentuk kotak begini mendapat sambutan kecuali di Jepun.

Pada 28 November lalu Kia Motors America (KMA) telah memperkenalkan Kia Soul generasi ketiga sempena Pameran Kenderaan Los Angeles 2018.

Gayaan kali ini tampil berbeza dibandingkan dengan dua generasi terdahulu yang comel dan funky. Soul generasi ketiga masih lagi kekal dengan bentuk kotak kecuali ia tampil agresif ala Stinger GT.

Lampu depan hadir tirus manakala bukaan gril bampar pula ternganga besar. Bahagian belakang juga membawa imej agresif yang sama dengan lampu berbentuk L. Lebih garang apabila dua muncung ekzos keluar dari tengah bampar.

Bahagian dalaman pula mengekalkan tema asal Soul iaitu muzik. Temanya ialah melalui bentuk dan tekstur yang melambangkan elemen akustik bagi menimbulkan pengalaman deria rasa tinggi.

Berikut ialah ciri-ciri yang terdapat pada Kia Soul generasi ketiga:

  • Struktur badan yang lebih kuat melalui peningkatan besi Advanced High Strength Steel (AHSS), komponen hot stamped dan lekatan struktur (structural adhesive)
  • Melalui struktur lebih kuat, Soul dijangka memperolehi rating keselamatan tertinggi dalam ujian Insurance Institute for Highway Safety (IIHS) dan National Traffic Highway Safety Administration (NHTSA)
  • Dua pilihan nadi kuasa iaitu 2.0-liter Nu 147 hp dengan 6 kelajuan manual atau Intelligent Variable Transmission (IVT) / CVT
  • Satu lagu ialah 1.6-liter turbo twin-scroll I-4 GDI 201 hp dengan transmisi klac berkembar 7 kelajuan
  • Beberapa varian utama seperti GT-Line, X-Line dan EX Designer
  • Kesemua varian menggunakan roda aloi 18 inci dengan bentuk berbeza
  • Sejumlah teknologi keselamatan di bawah Kia Drive Wise iaitu Forward Collision Avoidance (FCA) / FCA jenis pejalan kaki, Lane Keeping Assist (LKA), Lane Changing Assist (LCA), Driver Attention Warning (DAW), Blind-spot Collision Warning (BCW), Rear Cross Collision Warning (RCW), Smart Cruise Control (SCC) dan High Beam Assist (HBA)
  • Mood lampu dalaman dengan 11 pilihan. Mood suasana dalaman ialah Hey! Yo!, Party Time, Traveling, Romance, Midnight City dan Cafe

Tentang harga pula KMA masih belum mendedahkannya, berdasarkan harga generasi kedua Soul memang mampu milik iaitu dari USD 16,100 hingga USD 22,650. Berdasarkan nilai tukaran sekarang bermula dari RM 67,000 hingga RM 95,000.

Untuk kereta dengan USD 16,100 boleh dikira berpatutan sangat, harga tersebut lebih kurang Nissan Versa atau Almera di Amerika Syarikat. Pada harga begini dan bentuk yang menarik memang tidak hairan kenapa pengguna di AS begitu gemarkan Soul.

*1 USD = 4.17

BACA: ALKISAH KIA SPORTAGE – LAGENDA SUV KIA

BACA: KIA PICANTO GT-LINE — GUNA ENJIN TURBO 1.0 LITER TIGA SELINDER, 100HP, MANUAL 6 KELAJUAN

Google ads
Back to top button