Buletin

KILANG BATERI EV KOREA SELATAN LABUR RM2.3 BILION DI SABAH

Syarikat pengeluar kerajang tembaga untuk bateri kenderaan elektrik (EV) Korea Selatan, SK Nexilis melabur sebanyak RM2.3 bilion yang akan berpangkalan di Kompleks Industri KKIP,  Kota Kinabalu, Sabah.

Kilang terbabit merupakan kilang pengeluaran pertama luar negara syarikat terbabit.

Syarikat itu berkata kemudahan pembuatan kerajang tembaga yang dicadangkan itu akan mempunyai kapasiti pengeluaran berjumlah 50,000 tan setahun dan pembinaan akan dimulakan pada separuh pertama 2021, dengan operasi komersial akan dimulakan pada 2023.

“Kemudahan baharu itu akan meningkatkan kapasiti pengeluaran kerajang tembaga SK Nexilis tiga kali ganda daripada kapasiti globalnya sekarang, menjadi kira-kira 100,000 tan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata kehadiran SK Nexilis akan menarik lebih banyak pelabur untuk melengkapkan rangkaian rantaian bekalan bateri EV Malaysia.

Ia sekali gus menjadikan Malaysia hab untuk kerajang tembaga berketepatan tinggi dan berkualiti tinggi untuk penggunaan khusus.

“Sudah pasti, pelaburan ini turut meningkatkan jaringan tenaga kerja dan kebolehan Malaysia menerusi inisiatif bersama universiti tempatan dan institusi teknikal. 

“Meskipun pandemik berterusan, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan terus menarik pelaburan berteknologi tinggi seperti ini ke negara ini bagi untuk memberikan peluang kepada inovasi dan pembangunan rantaian bekalan tempatan,” katanya. – Bernama

Google ads
Back to top button