Buletin

YEMA SPICA EV. SUV 7-SEATER GAYA ALPHARD, HARGA PERODUA ARUZ

Kerja meniru seperti sudah sebati dengan industri automotif di China. Dengan pasaran yang begitu besar, terdapat banyak sekali pengeluar kenderaan bebas di sana.

Pengeluar kenderaan kecil-kecilan ini biasanya mengambil jalan mudah dengan meniru rekaan model-model popular. Tak kiralah sama ada daripada jenama Jepun atau Eropah, tiada yang terlepas.

Kini, muncul pula sebuah MPV yang mengambil inspirasi rekaan Toyota Alphard. Spica ialah sebuah MPV tujuh tempat duduk murah yang diperkenalkan pertama kali pada tahun 2015.

Enam tahun kemudian, ia hadir pula dengan varian elektrik dikenali sebagai Yema Spica EV.

Baru sahaja dilancarkan di pasaran China, Yema Spica EV tampil dengan rekaan gril EV yang tertutup. Sebagai model bajet, ia dipasang dengan rim besi kompang sahaja.

Rekaan Alphard boleh dilihat dengan ketara pada bahagian belakang. Tak percaya, cuba tengok pada rekaan lampunya.

Jentera itu digerakkan oleh motor elektrik dengan bateri 48kWh yang mampu menjana kuasa 93hp dan tork 180Nm. Berdasarkan kepada data NEDC, ia boleh bergerak sejauh 350km dengan sekali caj penuh.

Jika menggunakan pengecas pantas, baterinya boleh dicaj daripada 30 ke 80 peratus dalam masa 40 minit sahaja.

Masuk ke dalam kabin, material yang digunakannya memang Nampak murah. Plastik keras ada setiap permukaan. Radio single DIN itu pula seperti yang diambil dari tahun 2000. Ia hanya ada slot USB dan kad SD selain daripada radio.

Ruang konsol tengah cukup asas apabila cuma dihuni oleh tombol pemilih gear pemanduan.

Apa yang pasti, MPV itu bukan dibeli kerana teknologi, ciri atau rekaannya. Tetapi ia dibeli kerana harganya yang murah.

Pengguna boleh memiliki Yema Spica EV pada harga bermula 109,900 yuan (RM68,600) hingga 129,900 yuan (RM81,120) seunit.

GALERI

Google ads
Back to top button