Artikel Pilihan

AC SCHNITZER TAMBAH DOS KEHEBATAN GR SUPRA – KACUKAN JERMAN DAN JEPUN

Siapa tak kenal dengan AC Schnitzer, syarikat tuner terkenal yang sebelum ini cukup sinonim dengan kereta-kereta keluaran BMW. Itu dulu kini Supra menempa nama sebagai kereta Jepun pertama yang mendapat pakej naik taraf AC Schnitzer. Kalau nak dikira ia bukan perkara pelik pun sebab Supra baharu ni berkongsi banyak perkara dengan BMW Z4. Jadi mungkin sebab itulah alang-alang dah buat untuk Z4, mereka buat sekali aksesori naik taraf untuk GR Supra.

Apa pun program ni hanya khusus untuk Supra dan ia boleh ditempah dari pengedar di Jerman. Ya Jerman tuan-tuan dan bukannya kedai aksesori Ah Beng di Sri Rampai ataupun Danau Kota.

Menariknya program naik taraf AC ni bukannya hanya pada rupa paras luaran tetapi juga dari aspek kuasa dan kawalan. Kira menyeluruh la juga sesuai dengan kedudukan Supra sebagai kereta sports kebanggaan Toyota.

Paling menonjol sekali tentulah naik taraf aerodinamik. Tengok sajalah spoiler karbon yang besar gedabak di belakang dan semestinya mampu menghasilkan downforce yang lebih baik walaupun tidak dinyatakan sebanyak mana. Bahagian hadapan juga disediakan splitter berwarna hitam matt yang semestinya akan menonjolkan lagi penampilan GR Supra ini.

Rim 20 inci baharu AC1 ataupun AC4 boleh didapati dalam dua warna, BiColour ataupn Anthracite (tambahan warna hitam untuk AC1). Kalau nak lagi ganas boleh je pilih AC3 yang lebih besar (21 inci). Tak cukup lagi? AC turut menyediakan pelekat khas untuk rim-rim ini yang mudah untuk ditampal walaupun oleh pemilik itu sendiri. Tampal pelekat ni naik lagi 10 hp ke guano boh?

Itu belum campur aksesori lain seperti set pedal, rantai kunci dan controller sistem iDrive. Rasanya benda-benda macam ni memang banyak copy ori untuk Alza, Myvi, Kenari, Axia, Saga dan macam-macam lagi la.

Penambahan Kuasa

Ini lagi menarik sebab AC turut menawarkan performance upgrade untuk kedua versi enjin. Enam dan empat selinder. Untuk B58, kuasanya boleh ditingkatkan dari 340 ke 400 hp manakala untuk turbo-four dari 258 ke 300 hp. Pergh… kesemua ini mempunyai waranti dan bukannya proses naik taraf cincai-cincai.

Nak lagi puas hati tukar sekali dengan sistem ekzos AC. Memang meletop-letop macam bini abang goreng ikan rebus dik.

Untuk pakej paling premium ataupun ultimate package, lengkapkan sekali Supra anda dengan sistem suspensi coilover yang tidak ada batasan pelarasan. Boleh pilih untuk penampilan ataupun untuk kawalan. Sistem ini juga mampu merendahkan suspensi hadapan sebanyak 30mm dan 40mm di belakang. Kawalan tu memang untuk pemandu handalan macam abang la.

Bagi korang yang beli untuk melaram tu jangan bimbang sebab ada juga set suspensi khas untuk melaram dengan ketinggian boleh laras 15mm di hadapan dan 25mm di belakang. Jadilah kan untuk tujuan menunjuk-nunjuk depan awek.

Harga belum diumumkan tapi ini AC Schnitzer tuan-tuan. Tak adanya nak murah. Kita tunggu kot-kot AC Mizal nak jadi tuner kereta. Boleh dapat harga local kot.

Google ads
Back to top button