
PERBEZAAN CIRI ENJIN HONDA FIT RS & HONDA JAZZ
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Honda Jazz merupakan jentera yang tersangat-sangat popular di Malaysia. Jentera ini sangat praktikal dan sesuai dimiliki oleh semua peringkat umur.
Bagi anak muda, jentera ini menjadi pilihan mereka untuk dimodifikasi sesuai dengan kehendak hati masing-masing. Bukan itu sahaja, jentera ini juga menjadi pilihan untuk disesah di litar Sepang dan mampu memberikan tentangan kepada jentera sukan yang lain.
Antara modifikasi yang dilakukan terhadap Honda Jazz ialah dengan menyumbat enjin lain ke dalam ruangan enjin. Antara enjin yang menjadi pilihan adalah enjin berkod L15B yang terdapat pada ruangan enjin jentera Honda Fit RS.
Kenapa ?
Ya. Ini lah persoalan yang ingin kita kupas. Apakah ciri-ciri utama yang menyebabkan enjin ini menjadi pilihan ramai.
❞𝐕𝐀𝐋𝐕𝐄𝐓𝐑𝐀𝐈𝐍❞
Apabila kita sebut tentang “Valvetrain”, ia merangkumi keseluruhan sistem pemasaan injap dan merupakan sistem terpenting di dalam enjin. Keberkesanan sistem ini menentukan enjin ini cekap atau tidak.

“Valvetrain” pada enjin L15B yang dilengkapi pada Honda Fit RS GK5 adalah berbeza dengan enjin L15Z yang dilengkapi pada Honda Jazz. Perbezaan ketara yang dapat dilihan adalah pada jumlah “Camshaft”.
Enjin L15B dilengkapi dengan sistem “Dual Overhead Camshaft” atau lebih dikenali dengan akronim “DOHC” manakala enjin L15Z pula dilengkapi dengan sistem “Single Overhead Camshaft” atau lebih dikenali dengan akronim “SOHC”.
Secara ringkasnya, enjin L15B mempunyai 2 unit “Camshaft” dan setiap “Camshaft” mengawal pemasaan injap bagi injap masukan dan juga ekzos. Enjin L15Z pula mempunyai satu unit “Camshaft” dan ia mengawal keseluruhan pemasaan injap masukan dan juga ekzos.
Selain itu, walaupun kedua-dua enjin ini dilengkapi dengan sistem pemasaan injap i-VTEC, namun durasi pemasaan serta “Lift” adalah lebih tinggi pada enjin L15B berbanding L15Z. Sekaligus memberi perbezaan ketara pada kecekapan bahanapi dan juga tujahan kuasa.
𝐒𝐈𝐒𝐓𝐄𝐌 𝐁𝐀𝐇𝐀𝐍𝐀𝐏𝐈
Enjin L15B merupakan antara enjin di dalam keluarga “Earth Dreams” Honda. Antara ciri utama keluarga enjin ini ialah ia dilengkapi dengan sistem pancitan terus (Direct Injection).

Secara ringkasnya, sistem ini berfungsi dengan memancitkan bahanapi secara terus ke kebuk pembakaran melalui unit “Injector” berkapasiti tinggi.
Sistem ini juga memerlukan komponen tambahan iaitu “High Pressure Fuel Pump”(HPFP) yang berfungsi untuk meningkatkan tekanan bahanapi di dalam sistem.
Berbeza dengan sistem “Port Injection” pada enjin L15Z dimana unit “Injector” terletak pada “Intake Manifold”. Sistem ini memelukan bahanapi dipancitkan ke “Intake Port” dimana ia akan bercampur dengan udara dan campuran udara dan bahanapi ini akan disebut ke kebuk pembakaran ketika lejang masukan.
Perbezaan sistem ini juga memberikan perbezaan signifikan terhadap kecekapan bahanapi dan juga kuasa.
𝐍𝐈𝐒𝐁𝐀𝐇 𝐌𝐀𝐌𝐏𝐀𝐓𝐀𝐍
Nisbah Mampatan atau “Compression Ratio” enjin L15B adalah lebih tinggi dimana nilainya 11.5:1 berbanding enjin L15Z yang nilainya 10.3:1.
Jadi disini, nilai nisbah mampatan sebenarnya berkait rapat dengan sistem bahanapi yang digunakan. Nisbah mampatan yang tinggi memerlukan tekanan bahanapi yang tinggi dan juga kawalan yang jitu supaya pembakaran dapat belaku dengan sempurna.

Diaebabkan faktor ini lah yang membuatkan sistem “Direct Injection” digunakan pada enjin L15B.
Faktor yang sama juga terpakai pasa enjin L15Z dimana enjin ini dilengkapi dengan nisbah mampatan yang rendah. Oleh itu, penggunaan sistem bahanapi “Port Injection” sudah memadai.
Gabungan nisbah mampatan dan tekanan bahanapi yang tinggi memberi kesan kepada respon enjin.
𝐊𝐔𝐀𝐒𝐀
Dengan segala perbezaan sistem yang dinyatakan diatas, perbezaan utama pada kedua-dua enjin ini ialah tujahan kuasa.
Enjin L15B mampu menghamburkan kuasa sebanyak 130hp pada 6,600rpm dan daya kilas sekuat 155Nm pada 4,600rpm.
Enjin L15Z pula mampu menghamburkan kuasa sebanyak 118hpnpada 6,000rpm dan daya kilas sekuat 145Nm pada 4,600rpm.
Walaupun perbezaannya nampak tidak banyak, sebenarnya ia memberi kesan yang signifikan. Hal ini kerana enjin ini merupakan enjin “Naturally Aspirated”(NA), bukan dengan bantuan pendesak turbo mahupun “Supercharger”.
Sebagai tambahan, binaan enjin L15B kebanyakannya daripada alumunium termasuk pada blok enjin dan kepala silinder. Faktor ini menyebabkan enjin ini lebih ringan berbanding enjin L15Z.
Jadi ini lah faktor utama yang menyebabkan enjin ini digilai ramai dan ramai yang sanggup melabur untuk mendapatkan enjin ini. Bukan itu sahaja, enjin ini juga dilengkapi dengan pilihan transmisi manual 6-kelajuan.
Berat keseluruhan Honda Fit RS transmisi manual adalah sekitar 1,070kg sahaja dan menjadikan nisbah “Power to Weight Ratio” sekitar 0.12hp per kg. Lincah Tuan-Tuan.
Kenapa tak pakai kesemua sistem ini pada enjin L15Z ?
Boleh sekiranya Honda Jazz di Malaysia dijual dengan harga bermula RM130,000. Pucuk pangkalnya adalah kos.



