Motosikal

KOMBINASI ENJIN DAN ELEKTRONIK ADALAH SANGAT PENTING – VALENTINO ROSSI

Sabtu lepas komuniti MotoGP dikejutkan dengan permintaan maaf terbuka pihak Yamaha Racing kepada dua pelumba mereka, Valentino Rossi dan Maverick Vinales. Ia juga menimbulkan perdebatan dan kekeliruan di dalam kawasan paddock MotoGP.

Kekeliruan itu dinyatakan oleh beberapa pihak atasan pasukan lawan mereka dengan menyatakan apa perlunya pasukan seperti Yamaha yang sedang mendahului kedudukan pengeluar dan kedua dunia dalam kategori pelumba membuat permohonan maaf secara terbuka.

Alasan yang diberikan Yamaha ialah kerana kegagalan mereka membantu Rossi dan Vinales mendapatkan kedudukan grid yang lebih baik sewaktu pusingan kelayakan. Ia memang satu insiden yang mengecewakan tetapi bukanlah kali pertama berlaku pada pelumba-pelumba Yamaha. Rossi sendiri pernah menduduki tempat ke sepuluh selepas pusingan kelayakan dan bukannya sekali dua.

Tambah membimbangkan mereka ialah kini Yamaha sedang ditimpa kekalahan 20 dan kini 21 kali berturut-turut. Ini merupakan rekod terburuk mereka sejak 1998. Permohonan maaf dicadangkan oleh Tsuya dan bos Yamaha Motor Racing, Kouichi Tsuji.

Rossi sendiri bila ditanya adakah permohonan maaf itu perlu diumumkan berkata yang ianya bukan keputusan beliau. Bagi Rossi sendiri apa yang lebih penting ialah usaha meningkatkan lagi kemampuan jentera M1. Itu yang paling penting. Betul juga kan? Bukan semua benda boleh selesai dengan minta maaf.

BACA: MOTOGP: YAMAHA MOHON MAAF KEPADA ROSSI DAN VINALES SELEPAS KRISIS UJIAN KELAYAKAN

Rossi juga tergelak bila ditanya adakah beliau yakin dengan kemampuan Tsuji. Beliau berkata tiada jawapan untuk persoalan itu. Beliau menyatakan yang beliau sendiri bekerja untuk Yamaha dan sentiasakan memberikan yang terbaik khususnya penyampaian input untuk kegunaan para jurutera. Lebih daripada itu ia bukan tanggungjawa pelumba.

Rossi juga sudah lama menyatakan yang Yamaha perlu menaiktaraf sistem elektronik mereka khususnya yang berkaitan dengan pecutan untuk menyaingi Honda dan Ducati. Beliau berpendapat yang casis M1 sudah cukup baik cuma ia perlukan naiktaraf enjin dan elektronik yang lebih baik.

Malangnya peraturan yang ada tidak membenarkan proses naik taraf pada masa sekarang. Ini bermakna mereka perlu menunggu untuk musim yang akan datang. Rossi turut menegaskan yang Honda dan Ducati sudah banyak peningkatan dan hampir meninggalkan Yamaha jika mereka tidak melakukan sesuatu.

Semoga pihak atasan Yamaha mengambil tindakan dengan segera untuk mengatasi masalah ini. Jangan sampai moto Yamaha bertukar kepada “Pernah di depan satu ketika dahulu”. Tak best oo.

Tags
Google ads
Back to top button