TOYOTA, HONDA, ISUZU RANCANG LABUR RM20 BILION DI THAILAND UNTUK PENGELUARAN EV
Pengeluar kereta utama Jepun merancang untuk melabur AS$4.34 bilion (RM20 bilion) di Thailand dalam tempoh lima tahun akan datang, menguatkan peralihan negara itu ke arah pengeluaran kenderaan elektrik.
Perkara berkenaan didedahkan oleh jurucakap kerajaan Thailand pada Isnin lalu.
Toyota Motor dan Honda Motor, masing-masing akan melabur kira-kira 50 bilion baht (RM6.6 bilion) setiap satu, manakala Isuzu Motors pula dijangka melabur 30 bilion baht (RM4 bilion) dan Mitsubishi Motors 20 bilion baht (RM3 bilion).
Tambahnya lagi, pelaburan tersebut adalah termasuk pengeluaran trak pikap elektrik.
Sebagai ekonomi kedua terbesar di Asia Tenggara, Thailand ialah pengeluar dan pengeksport kereta terbesar di rantau ini.
Pengeluar Jepun telah menguasai sektor automotif Thailand selama beberapa dekad, namun sejak kehadiran pembuat EV China, ia membuatkan jenama Jepun sedikit ketinggalan.
“Pelaburan oleh pembuat kereta Jepun itu adalah sebahagian daripada menyokong dasar kerajaan untuk beralih daripada kenderaan enjin pembakaran kepada EV,” jelas jurucakap Kerajaan Thailand.
Untuk rekod, thailand menyasarkan untuk menukar kira-kira satu pertiga daripada pengeluaran tahunannya sebanyak 2.5 juta kenderaan kepada EV menjelang 2030.
Selain itu, Thailand juga sedang menyediakan insentif untuk menggalakkan lebih banyak pelaburan serta penukaran kepada pembuatan EV.
Pemotongan cukai dan subsidi yang dilancarkan oleh Thailand berjaya menarik ramai pembuat kereta China, termasuk BYD dan Great Wall Motor.
- BACA: ZEEKR REKRUT DUA JAWATAN DI THAILAND, BAKAL MASUK PASARAN ASIA TENGGARA
- BACA: TESLA BAKAL BINA KILANG PENGELUARAN DI THAILAND
- BACA: PROTON ENGGAN KE PASARAN INDONESIA, THAILAND, PERSAINGAN TERLALU SENGIT – DR LI CHUNRONG
- BACA: NETA AUTO MULA PENGELUARAN EV PERTAMA DI THAILAND, BAKAL LANCAR NETA V-II