Buletin

LAMBORGHINI MAHU HADKAN PENGELUARAN URUS UNTUK JAGA EKSKLUSIVITI JENAMA

Lamborghini dilapor akan menghadkan pengeluaran model SUV Urus demi menjaga eksklusiviti jenamanya.

Ketika pengeluar kenderaan lain gembira jika mereka mampu menjual lebih banyak produk, Lamborghini pula mengambil pendekatan berbeza. Malah, Lamborghini tahu ia boleh menjual banyak Urus pada masa depan, tetapi mereka tidak mahu.   

Minggu lalu, Lamborghini mengumumkan keputusan jualan suku kedua tahun ini yang sangat memberangsangkan. Urus kini merangkumi lebih separuh daripada jualan Lamborghini di seluruh dunia. Sekali gus mengalahkan angka jualan Huracan dan Aventador.

Dalam separuh pertama 2019, lebih 2,700 unit Urs telah diserahkan kepada pelanggan. Ini merupakan peningkatan sebanyak satu kali ganda berbanding sebelumnya.

“Kita tidak akan berkembang selamanya. Jadi, kita perlu menilai semula angka jualan ini dan menjaga aspek eksklusiviti,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Lamborghini, Stefano Domenicali.

Domenicali menganggarkan Lamborghini akan menjual kira-kira 8,000 unit kenderaan tahun ini.

Inilah jumlah yang bakal dihadkan pada masa depan. Ini bermakna hanya 5,000 unit Urus, 2,000 unit Huracan dan 1,000 Aventadir akan dijual setiap tahun.

Namun, angka itu mungkin dinaikkan sekiranya Lamborghini melancarkan model baharu nanti.

Google ads
Back to top button