Buletin

LAMBORGHINI V12 GT VISION GRAN TURISMO DIBIKIN DARIPADA KAYU

Woodworking Art merupakan antara saluran yang memaparkan pembikinan jentera-jentera menarik di saluran YouTube.

Antara ciptaan yang pernah dipertontonkan kepada khalayak termasuk mini Lamborghini Sian, Bugatti Centodieci dan Ferrari 250 GTO.

Terbaharu, Woodworking Art membikin replika Lamborghini V12 GT Vision Gran Turismo untuk anak lelakinya.

Jentera V12 GT Vision Gran Turismo merupakan salah satu jentera konsep paling aneh diperkenalkan Lamborghini.

Justeru, meniru rupa bentuk jentera berkenaan bukan satu tugas yang mudah.

Pembikin replika itu memulakan projek itu dengan membangunkan kerangka besi sebelum memasang suspensi dan kompenen brek serta motor elektrik untuk memastikan ia dapat berfungsi dengan baik.

Apabila kerangka sudah disiapkan, Woodworking Art mula kerja-kerja sentuhan cat dan memperinci bahagian luaran.

Menariknya, jentera Lamborghini V12 GT Vision Gran Turismo tersebut dibangunkan menggunakan kayu.

Youtuber terbabit perlu memotong, gam dan memperinci setiap bahagian luaran serta panel yang diperbuat daripada kayu sebelum ia dipadankan pada kerangka besi.

Melalui video berkenaan, dia juga kelihatan membikin kaliper brek dan penutup hab menggunakan kayu.

Selain itu, bahagian dalaman turut diperkemas dengan mendapat inspirasi daripada jentera konsep asli terutama pada stereng.

Tidak terkecuali penutup enjin diperbuat daripada kayu serta beberapa lampu LED dipadankan pada bahagian luaran jentera.

Difahamkan, jentera replika tersebut mengambil masa kira-kira 96 hari untuk disiapkan pemilik Woodworking Art. – carscoops

Google ads
Back to top button