Buletin

INDIA BAKAL JADI PASARAN YANG MENGUNTUNGKAN – STELLANTIS

Ketua Pegawai Eksekutif Stellantis, Carlos Tavares menjangkakan India bakal menjadi satu pasaran yang menguntungkan dengan peluang pertumbuhan lebih tinggi berikutan cabaran yang dihadapinya di China dan Rusia. 

Buat masa sekarang, Stellantis yang menjual kenderaan jenama Jeep da Citroen di India hanya mencatat jualan yang sangat kecil. Namun, Tavares meramalkan perolehan di negara itu akan naik lebih dua kali ganda menjelang tahun 2030 dengan margin keuntungan operasi naik dua digit dalam tempoh beberapa tahun lagi. 

Sejak sekian lama, pengeluar kenderaan Eropah sukar untuk buat duit di India, satu pasaran yang dikuasai oleh Suzuki Motor serta Hyundai menerusi kereta-kereta murah dan kecil mereka. 

“Anda boleh untung di India jika anda melakukan perniagaan mengikut cara India,” kata Tavares. Ini termasuklah mendapatkan bekalan alat ganti di dalam negara, mengintegrasikan rantaian bekalan untuk memastikan kos kekal rendah, serta menghasilkan kereta di peringkat tempatan dengan ciri-ciri yang dimahukan oleh pengguna tempatan. 

Stellantis yang ditubuhkn pada tahun 2021 hasil penggabungan PSA dan Fiat Chrysler (FCA) telah menggariskan satu strategi untuk meningkatkan keuntungan dan merancakkan pengeluaran kereta elektrik.

Fokus ke atas India adalah tepat pada masanya ketika Stellantis berdepan isu di China yang memaksanya untuk menukar strategi berikutan jualan merudum dan persaingan yang kian sengit.  Ia juga terpaksa menghentikan produksi di Rusia kerana perang dengan Ukraine. 

Pelan utama Stellantis buat India adalah untuk membangunkan kereta kompak mampu milik. Selain melancarkan EV kecil bermula tahun depan. 

Biarpun selepas Ford dan GM meninggalkan India, Stellantis tetap yakin dengan pendekatannya iaitu sebelum menghasilkan kereta, kukuhkan dahulu rantaian bekalan. Ia menghasilkan enjin dan transmisi di India selain mendapatkan lebih 90 peratus alat ganti daripada pasaran tempatan. 

Sejak tahun 2015, Stellantis telah melabur sebanyak AS$1.05 bilion (RM4.6 bilion) di India. 

Google ads
Back to top button