Buletin

LAND ROVER DEFENDER 130. 8 TEMPAT DUDUK, 3 PILIHAN ENJIN, BERMULA RM298K DI AS

Land Rover baru sahaja melancarkan versi Defender ultra panjang yang dikenali sebagai 130. Dibina untuk mereka yang ingin membawa lebih ramai penumpang, Defender 130 menawarkan tiga baris tempat duduk dengan kapasiti lapan tempat duduk.

Jentera itu merupakan varian lebih panjang berbanding Defender 90 dan 110. Tapak roda bagaimanapun tidak berubah iaitu 3,022mm. Tetapi ruang belakangnya ditambah sebanyak 340mm, sekali gus menjadikan panjang keseluruhan SUV tersebut 5,358mm. 

Reka bentuk yang berkotak membantu membuatkan penambahan itu tidak nampak pelik. Ia juga menawarkan tempat duduk baris ketiga dan kargo belakang lebih luas. Penumpang baris terakhir bukan sahaja boleh menikmati tempat duduk dengan ciri pemanas, malah ada sunroof mereka sendiri. 

Pelanggan yang mahukan ruang lebih luas boleh memilih Defender 130 dengan konfigurasi lima tempat duduk. Ia menawarkan ruang kargo mencecah 1,328 liter. Apabila tempat duduk baris kedua dilipat, ruang tersebut menjadi seluas 2,514 liter. Pembeli juga boleh menambah kawalan suhu empat zon. 

Land Rover menambah satu warna baharu (sedona red) khas untuk Defender 130. Suspensi udara dan sistem infohibur dengan skrin bersaiz 11.4 inci adalah standard. 

Defender 130 hadir dengan tiga pilihan enjin mild-hybrid untuk pasaran Eropah. Penggemar off-road pasti gembira dengan penawaran enjin diesel D300 berkuasa 295hp dan tork 650Nm.

Dua lagi enjin ialah P300 dengan kuasa 300hp dan tork 470Nm yang berupaya memecut dari 0-100km/j dalam masa cuma 7.5 saat. Pelanggan yang mahukan lebih kuasa boleh memilih enjin P400 yang mampu menjana 400hp dan tork 550Nm.

Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear automatik lapan kelajuan ZF bersama sistem pacuan semua roda dan Terrain Response System.

Land Rover dilapor akan menawarkan versi First Edition yang hadir dengan spesifikasi lebih tinggi seperti uplholsteri kulit berwarna putih dan kemasan kayu oak.

Edisi Sedona Red pula didatangkan dengan upholsteri kulit berwarna hitam dan venir kayu gelap. Sementara First Edition berwarna kelabu mendapat upholsteri coklat dan kemasan kayu walnut. 

Pelanggan juga boleh memilih spesifikasi HSE, X-Dynamic SE, X-Dynamic HSE dan X. Jentera itu sudah boleh ditempah di Amerika Syarikat pada harga bermula AS$68,000 (RM298,000) seunit.

GALERI

Google ads
Back to top button