
LAND ROVER VELAR R-DYNAMIC BLACK, LAWA SANGAT!
Kepada peminat SUV Land Rover yang merasakan saiz Evoque kecil dan tidak sesuai manakala Range Rover pula besar hendak dipandu maka Velar adalah jawapannya.
Velar hadir dengan lagak tersendiri iaitu keseimbangan di antara Evoque dan Range Rover. SUV ini semakin hari semakin kerap ditemui di jalan raya tempatan dan menarik untuk dipandang.
Di negara kita, Velar dijual dengan harga premium dan itu tidak menghalang pembeli tempatan daripada memilikinya.
Di United Kingdom, Land Rover menawarkan Range Rover Velar R-Dynamic Black, edisi terhad sebanyak 500 unit sahaja.
Velar ini diasaskan dari varian terlaris D180 R-Dynamic SE dan dilengkapi pelbagai ciri istimewa khusus untuk pasaran UK (atau negara kita apabila pengimport bebas membawanya ke sini).
Ia dilengkapi Black Exterior Pack, cermin privasi, bumbung kaca panoramik, roda aloi 21 inci warna hitam kilat, stereng dengan fungsi pemanas, warna metalik dan Adaptive Dynamics sebagai ciri standard.
Dua warna pilihan ialah Santorini Black dan Eiger Grey manakala bahagian dilengkapi lelangit Ebony Morzine sebagai tambahan kepada balutan kulit Ebony.
Range Rover Velar diakui menawan apabila memenangi Reka Bentuk Kereta Dunia Terbaik pada Anugerah Kereta Dunia 2018.
Ia membawa unsur moden, elegan dan glamor dalam famili Range Rover dengan gabungan reka bentuk yang bagus dan teknologi.
Di UK, SUV premium Velar R-Dynamic Black ditawarkan pada harga permulaan GBP£56,995 (RM312,768) dengan penghantaran pertama pada awal 2020.
BACA: BEKAS KETUA PEREKA JAGUAR LAND ROVER SERTAI GEELY UK, BERI KHIDMAT SOKONGAN KEPADA PROTON