Artikel Pilihan

LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE MUZIUM NISSAN – EH DIORANG BUKA LAGI KE TENGAH KRISIS NI?

Sambil-sambil korang terguling kat rumah semasa tempoh larangan keluar rumah ni apa kata kita melawat muzium Nissan di Zama, Jepun. Tak payah bangun pakai seluar sebab ini lawatan maya dan bukannya memerlukan pergerakan fizikal pun. Nissan memang faham dengan masalah yang melanda dunia ketika ini jadi mereka bermurah hati untuk menyediakan video lawatan untuk peminat model-model Nissan.

Muzium yang dikenali dengan nama Zama Warehouse ini menempatkan lebih 400 unit model klasik, jentera perlumbaan dan prototaip Nissan yang jarang-jarang sekali dapat dilihat. Jadi bagi korang yang tak pernah sampai ke Jepun apatah lagi di muzium Nissan ini jangan lepaskan peluang untuk menonton video ini.

Sebenarnya Zama Warehouse ini pun sedang ditutup akibat krisis Covid-19. Jadi kalau korang masih berada di Jepun ataupun warga Jepun sendiri sekalipun, muzium ini tidak boleh dilawati pada masa sekarang.

Jadi cara yang paling mudah dan selamat ialah dengan menonton video ini. Ia dihoskan oleh seorang wanita comel yang dinamakan Miss Fairlady (jangan bimbang sebab pakaian awek ni 80 peratus patuh syariah, jadi korang selamat dari jelingan maut orang rumah sewaktu menonton video ini). Beliau turut ditemani oleh seorang pakar sejarah Nissan yang menerangkan serba sedikit tentang model-model yang dipamerkan.

Usaha Nissan ini memang boleh dipuji dan boleh membantu kita yang memang tengah bosan tahap gaban akibat larangan keluar rumah ini. Daripada korang asyik menari tiktok dengan anak bini baik layan video ni sekejap. Err satu je tak best, dia cakap Jepun. Korang biasa tengok cerita Jepun kan?

Tags
Google ads
Back to top button