Buletin

LAMBORGHINI KUNING TAK BAYAR TOL, NETIZEN BERCANGGAH PENDAPAT

Tindakan seorang pemandu Lamborghini yang tidak membayar tol mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan netizen. 

Klip video berdurasi tujuh saat yang tular di media sosial itu menunjukkan sebuah Lamborghini berwarna kuning dengan selamba melalui palang tol di laluan Smart TAG tanpa membuat pembayaran. Rekaan supercar yang rendah itu membolehkannya melalui bahagian bawah palang tanpa sebarang masalah. 

Lampu di sebelah kanan tol yang tidak bertukar hijau membuatkan ramai beranggapan pemandu kereta berharga lebih RM1 juta itu tidak membayar tol. 

““Kereta mahal boleh beli, tapi tol tak nak bayar, malulah sikit, saya bawa Perodua Kancil pun bayar tol lah,”kata Abang Kancil Turbo.

 Irfan Harith pula berkata, “Patut harga kereta ini sejuta lebih, sebab dia datang dengan pakej tak perlu bayar tol seumur hidup.”

Walaupun ramai yang mengecam tindakan pemandu berkenaan, namun ada segelintir yang menyatakan bahawa wang SmartTAG Lamborghini itu tetap dipotong. Tetapi palangnya tidak terangkat kerana pengesan tidak dapat mengesan kereta yang terlalu rendah. 

“SmartTAG duit dah tolak. Sensor x detect kereta tak dapat baca sebab rendah. Dah banyak kali aku nampak,” tulis BK89. 

Manakala gaurusblack pula menulis, “Dah bayar palang tak naik.. haih mujur la nampak, kalau tak memang rasa nak judge lah..” 

Tetapi alasan itu disangkal oleh individu lain. “Bang, nak cakap sini kalau lampu tak tukar hijau dan palang tak naik maknanya baki kurang atau tak detect,” kata Eccendentesiast. 

Google ads
Back to top button