Buletin

SUZUKI DEDAH IMEJ ALTO GENERASI KE-9 UNTUK PASARAN JEPUN

Suzuki mendedahkan imej model generasi ke-9 Alto untuk pasaran Jepun selepas brosur kenderaan kei terbabit bocor sejak beberapa minggu lalu.

Biarpun memiliki nama Alto tetapi model spesifikasi pasaran Jepun (JDM) itu berbeza jika dibandingkan dengan Suzuki Maruti Alto yang dijual di India dan pasaran lain.

Alto terbaharu itu masih mengekalkan gaya rekaan signatur dua kotak hatchback, malah jentera itu lebih berkotak dengan garis bumbung yang rata.

Ia turut mendapat sentuhan baharu pada garisan badan yang berlekuk dengan dipadankan bampar moden dan lampu utama berbentuk lebih bulat. Sekali gus menyerlahkan sisi agresif kenderaan itu berbanding model 2014.

Selain itu, bahagian belakang Alto terbaharu tersebut mendukung rekaan konventional kenderaan di dalam bandar dilengkapi lampu belakang disusun kemas pada bahagian sisi berbanding kedudukan lebih rendah pada model terdahulu.

Ruang dalaman pula menampilkan rekaan baharu pada papan pemuka, kluster instrumen, stereng dan penambahan ruang penyimpanan barang.

Dari seg keselamatan, Alto terbaharu didatangkan dengan sistem asas ADAS seperti brek kecemasan autonomi, amaran pelanggaran dan bantuan lampu tinggi.

Suzuki Alto akan ditawarkan dengan trenkuasa mild-hybrid yang menggabungkan enjin tiga silinder 600cc dengan integrated starter generator (ISG) dan pek bateri lithium-ion.

Suzuki bagaimanapun tidak mendedahkan prestasinya, tetapi ia dijangka lebih jimat berbanding enjin tanpa sistem hibrid. Masih tidak dapat dipastikan sama ada Suzuki akan mengeluarkan varian Turbo RS yang lebih sporty atau sebaliknya.

Model terbaharu itu dijangka memasuki pasaran Jepun pada tahun hadapan. – carscoops

Google ads
"
"
Back to top button