Buletin

LELAKI DISANGKA MAUT NAHAS PESAWAT, MUNCUL SEMULA SELEPAS 45 TAHUN

Seorang lelaki berusia 70 tahun disangka maut dalam nahas pesawat Indian Airlines kembali semula ke pangkuan keluarga selepas 45 tahun.

Sajjad Thangal kembali semula pada pangkuan ibunya yang berusia 91 tahun apabila ahli keluarga menyangka dia terkorban dalam pesawat dinaikinya terhempas pada 1976.

Kepulangan lelaki itu disambut ahli keluarga, penduduk kampung, rakan dan pemimpin setempat.

Nahas tragis itu mengorbankan 95 nyawa termasuk aktres terkenal India, Rani Chandra.

Sajjad berusia 25 tahun ketika kejadian bekerja dengan Rani untuk menguruskan program kebudayaan di sekitar negara Teluk.

Pemimpin sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di Mumbai, K M Philip berkata, sebelum kejadian Sajjad bercadang untuk menaiki pesawat berkenaan dari Abu Dhabi pada 12 Oktober 1976.

“Namun disebabkan beberapa pertukaran saat akhir, dia mengubah rancangan dan terselamat daripada menjadi mangsa nahas itu,” katanya.

Philip berkata, kejadian itu memberi kesan mendalam kepada Sajjad selepas dia kehilangan ramai rakan rapat dan rakan perniagaan.

Lelaki itu dikatakan mengalami masalah mental yang serius sehingga memaksa dia mendapatkan rawatan.

“Pada waktu itu, insurans bukanlah sesuatu yang popular dan saya kehilangan banyak wang kerana ramai menganggap saya sudah mati,” katanya.

Katanya, selepas kejadian berkenaan, dia menetap di Mumbai namun dia dibawa mendapatkan rawatan di rumah kebajikan kerana trauma dialaminya.

Philip memaklumkan, Sajjad mengalami trauma serius apabila sukar menceritakan kejadian kepada kaunselor di rumah kebajikan berkenaan. –Daily Star

Google ads
Back to top button