
LELAKI MAUT SELEPAS BERGELUT AKIBAT KEMALANGAN DI LEBUH RAYA
Seorang lelaki maut selepas bergelut dengan lelaki lain akibat perselisihan faham.
Pergelutan itu berlaku kerana mereka terlibat dalam satu kemalangan di KM 239 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, dekat susur ke Bandar Baru Bangi petang semalam.
Kemalangan itu dilapor berlaku pada jam 1.40 petang, sebelum kedua-duanya berselisih faham dan bergelut. Dalam satu video klip yang tular, kelihatan seorang lelaki berpakaian biru kotak-kotak terbaring di atas penghadang jalan
Sementara suspek yang berpakaian baju belang cuba menarik mangsa supaya bangun. Dia juga dilihat menunjukkan jari tengah kepada perakam video.
Mangsa yang berusia 29 tahun itu kemudian dikejarkan ke Hospital Nilai dan disahkan meninggal dunia.
Suspek dan isterinya yang berusia awal 40-an telah ditahan polis untuk membantu siasatan.
Berdasarkan kepada laporan polis yang dibuat oleh suspek, dia melanggar mangsa selepas mangsa merosakkan bahagian hadapan keretanya menggunakan kayu besbol.
Ketua Polis Daerah Kajang, Ahmad Zhaffir Mohd Yussof memberitahu kes disiasat mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman mati atau penjara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat di talian 016-406 4202 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.