BuletinMotosikal

PEMANDU MYVI SEBABKAN KEMALANGAN DI LDP DICARI

Semalam tular satu klip video yang menunjukkan empat buah motosikal merempuh sebuah kereta di lebuh raya.

Video berdurasi 15 saat itu menunjukkan sebuah Perodua Myvi berwarna hitam melanggar sebuah Mazda CX-3 berwarna merah di hadapannya. Pelanggaran itu membuatkan kereta tersebut terbabas dan ‘melibas’ sebuah motosikal yang cuba mengelak.

Keadaan bertambah buruk apabila tiga lagi motosikal yang ditunggang laju merempuh pula Myvi yang sudah melintang di tengah jalan. Berdasarkan kepada video, kecederaan yang dialami oleh semua penunggang motosikal tersebut agak serius.

Berdasarkan kepada baju yang dipakai, mereka semua dipercayai baru pulang dari acara Karnival Gen Blu Yamaha yang berlangsung di MAEPS pada sebelah pagi.

Kejadian itu dipercayai berlaku di kilometer 25, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) berhampiran Puchong Intan, petang semalam.

Memetik laporan Harian Metro, kemalangan itu membabitkan tujuh buah kenderaan. Mereka yang cedera kemudian dikejarkan ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan.

Penunggang-penunggang itu mengalami kecederaan seperti patah tulang pinggul, patah pergelangan tangan dan retak kaki.

Sehingga kini, pihak polis masih mengesan pemilik/pemandu Perodua Myvi terbabit yang belum tampil membuat laporan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tags
Google ads
Back to top button