
BEKAS PENGERUSI MITSUBISHI MOTORS MENINGGAL DUNIA AKIBAT KEGAGALAN JANTUNG
Bekas Pengerusi Mitsubishi Motors, Osamu Masuko meninggal dunia pada usia 71 tahun akibat kegagalan jantung pada Khamis lalu.
Beliau sebelum ini meletakkan jawatan sebagai pengerusi Mitsubishi Motors pada 7 Ogos lalu atas alasan kesihatan.
Pada tahun 2005, Masuko dinamakan sebagai Presiden Mitsubishi Motors dan bekerja keras dalam memperkasakan jenama Mitsubishi.
Masuko merupakan seorang ketua yang tenang dan lembut dalam berbicara malah dianggap sebagai simbol kebangkitan semula Mitsubishi Motors.
Beliau merupakan orang bertanggungjawab dalam penggabungan dengan pengeluar kereta, Nissan pada tahun 2016.
Bagaimanapun, Pengerusi Nissan Carlos Ghosn ditangkap dan didakwa atas tuduhan salag lau kewangan pada akhir 2018.
Masuko pernah berkata beliau terkejut dan sedih apabila Ghosn ditangkap.
Gabungan Mitsubishi, Nissan dan Renault turut dilihat sebagai langkah bijak dalam memberi kelebihan kepada pengeluar kenderaan tersebut dalam pasaran global yang semakin kompetitif.
Beliau membantu membina dan meningkatkan perniagaan jenama berkenaan di rantau Asia Tenggara .
Selain itu, beliau turut menekankan pembangunan model ekologikal secara agresif semasa memegang jawatan tertinggi Mitsubishi Motors. – agensi