Buletin

LESEN MEMANDU PERSENDIRIAN, CUKAI JALAN KINI DALAM MOD PAPARAN DIGITAL – BERKUATKUASA HARI INI

Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan pada hari ini bahawa pemilik kenderaan persendirian tidak perlu lagi mempamerkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan di kenderaan masing-masing.

Pemilik kenderaan persendirian akan menggunakan mod paparan LKD Digital (e-LKM) dan LMM Digital (e-LMM) melalui portal awam JPJ atau aplikasi MyJPJ.

“Selaras dengan inisiatif ini, peruntukan di bawah Seksyen 20 Akta Pengangkutan Jalan 1987 di mana ‘setiap LKM hendaklah dilekatkan dan dipamerkan pada kenderaan yang berkenaan’ tidak lagi akan dikuatkuasakan bagi kategori pemilik bawah fasa pertama.

“Inisiatif ini akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan fasa pertama melibatkan kenderaan persendirian individu, termasuklah motosikal (warganegara),” katanya.

Walau bagaimanapun, pemilik atau pemegang lesen kenderaan persendirian syarikat, kenderaan milik warga asing serta kenderaan perdagangan, termasuk kenderaan barangan, kenderaan perkhidmatan awam, masih wajib mempamerkan cukai jalan dan mengemukakan kad lesen memandu.

Tambahnya lagi, adalah digalakkan untuk orang awam mendaftar di portal awam JPJ atau aplikasi MyJPJ yang boleh dimuat turun di telefon pintar agar tidak perlu bersesak-sesak ketika berurusan di kaunter JPJ.

Dalam pada yang sama, beliau turut menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan sentiasa dijalankan terhadap mana-mana pihak memandu kenderaan tanpa cukai jalan atau lesen memandu, selaras dengan peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pemandu dan pemilik kenderaan yang belum bersedia untuk beralih ke platform digital masih boleh menggunakan LMM dan LKM fizikal.” Jelas beliau. – New Straits Times

Google ads
Back to top button