Buletin

WRC 2021 – ELFYN EVANS MELOMPAT LEBIH TINGGI DI RALLY DE PORTUGAL

Pemandu pasukan Toyota Gazoo yang agak tenggelam sebelum ini, Elfyn Evans berjaya memenangi perlumbaan Rally De Portugal yang berlangsung hujung minggu sudah sekali gus menebus kehampaan beliau sebelum ini sewaktu perlumbaan di Crotia. Rezeki dan tuah dilihat menyebelahi pemandu dari Britain itu apabila berjaya merampas pendahului saingan daripada Ott Tanak yang memandu Hyundai i20 Coupe WRC terpaksa melupakan saingan apabila mengalami kerosakan pada sistem ampaian jentera beliau sewaktu SS 14.

Sebelumnya, pemandu Estonia itu sedang mendahului dengan agak selesa apabila berjaya meninggalkan Elfyn Evans 22.4 saat dibelakang. Dan kemudiannya, Elfyn Evans tidak lagi menoleh ke belakang untuk terus memimpin saingan dan meninggalkan Dani Sordo yang berjaya menamatkan saingan di tempat kedua dengan ketinggalan 28.3 saat. Dani Sordo juga sebetulnya agak cemerlang apabila muncul pendahulu pada hari pertama saingan sebelum terpaksa akur dengan kondisi enjin yang kurang cemerlang serta permasalahan pemilihan tayar yang kurang sesuai.

Dengan kejayaan Elfyn Evans ini, setidaknya berjaya merapatkan lagi pungutan mata untuk berada di kedudukan kedua keseluruhan di belakang pendahulu, Sebastian Ogier yang berjaya menamatkan saingan di Portugal di posisi ketiga sekali gus kekal mengutip mata penting.

Dan prestasi cemerlang pasukan Toyota Gazoo Racing ini diteruskan lagi dengan pemanduan yang handal oleh pemandu muda dari Jepun Takamoto Katsuta yang berada di kedudukan keempat keseluruhan di Portugal ini. Ini merupakan keputusan terbaik buat Takamoto Katsuta setakat ini bersama jentera Yaris WRC. Dengan kejayaan ini, sudah pasti kedudukan Toyota Gazoo sebagai pendahulu untuk kategori Pengeluar semakin selesa di belakang pasukan Hyundai Shell Mobis.

Sementara itu, pasukan M-Sport Ford juga akur untuk berada di kedudukan kelima dan keenam keseluruhan melalui pemandu Gus Greensmith dan Adrien Fourmaux. Itu pun disebabkan keduanya mengalami masalah throttle yang mengakibatkan kedua mereka kehilangan masa berharga. Yang pasti, prestasi pemandu muda Perancis semakin meyakinkan walaupun baru dua kali beraksi di kelas WRC.

Pusingan berikutnya bakal berlangsung di Rally Italia Sardegna pada 3 – 6 Jun nanti.

Kedudukan Mata Pemandu

  1. Sebastian Ogier – 79 Mata
  2. Elfyn Evans – 77 Mata
  3. Thierry Neuville – 57 Mata

Kedudukan Mata Pengeluar

  1. Toyota Gazoo Racing – 183 Mata
  2. Hyundai Shell Mobis – 146 Mata
  3. M-Sport Ford – 64 Mata

BACA : WRC 2021 – SEBASTIAN OGIER MENANG DI CROATIA

BACA : WRC 2021 – OTT TANAK KEMBALI MENANG DI ARCTIC RALLY FINLAND

Google ads

B K

Back to top button