Buletin

LEXUS ELECTRIFIED CONCEPT BAKAL HADIR DENGAN SEMANGAT LFA

Lexus LFA merupakan karya teragung Lexus yang menjadi bualan ramai – dengan enjin V10 dan sistem ekzos yang mampu menjerit nyaring umpama sebuah kereta Formula 1.

Malah, rekaannya juga masih malar segar, tidak mengingatkan kita bahawa supercar pertama ini sebenarnya lahir pada tahun 2010 setelah 10 tahun dibangunkan.

Dalam previu hala tuju EV Toyota baru-baru ini, Lexus tidak ketinggalan mempamerkan beberapa buah model konsep, dan yang paling mencuri tumpuan adalah Lexus Electrified Sport, sebuah supercar (atau hypercar) yang sangat cun dan seksi ini.

Menurut Lexus, model Electrified Sport ini disifatkan sebagai pengganti spiritual kepada model Lexus LFA, dengan keupayaan pecutan 0-100 km/j dalam tempoh bawah dua saat, dan jarak operasi sejauh kira-kira 700 km.

Kenapa Lexus LFA? Ini kerana menurut Akio Toyoda, “Lexus akan membangunkan generasi baharu kereta sports elektrik bateri yang akan mewarisi semangat pemanduan dan prestasi yang diwujudkan semasa pembangunan model LFA.”

Ini merupakan satu perkembangan menarik, di mana Toyota dan Lexus masing-masing berminat untuk menawarkan kereta sports yang mewarisi semangat model-model terdahulu (MR2 dan LFA) di dalam era kenderaan elektrik masa hadapan.

Google ads
Back to top button