Buletin

NISSAN SYLPHY 2019 TAMPIL BERGAYA DAN SEKSI (INI YANG KAMI MAHU!)

Jika ditanya satu soalan jujur dalam senarai kereta segmen C seperti Honda Civic, Toyota Corolla dan Nissan Sylphy, model manakah yang anda pilih?

Jika anda memilih Civic atau Corolla, apakah sebab Sylphy dipinggirkan?

Kini untuk menempatkan Sylphy ke aras lebih tinggi, Nissan memperkenalkan Sylphy 2019 yang tampil bergaya dan seksi di Pameran Kenderaan Shanghai 2019.

Bukan sahaja menarik, Sylphy 2019 juga canggih dengan teknologi Nissan Intelligent Mobility.

Gaya yang menarik ini menggunakan konsep reka bentuk vigor (semangat) dan confidence (keyakinan).

Ciri yang terampil disumbangkan oleh kedudukan (stance) lebih lebar, pusat graviti lebih rendah, ciri aerodinamik lebih baik dengan pekali seretan (cod) 0.26 iaitu angka sama seperti Nissan GT-R

Ukuran lebar dan jarak roda lebih panjang menjadikan ruang dalaman luas dan boleh memuatkan lima penumpang dengan selesa

Skema warna dalaman dengan tiga pilihan iaitu hitam sporti, kelabu muda dan perang

Tiga corong khas penyaman udara yang mengalirkan hembusan ke bahagian kiri dan kanan kerusi depan dan ke kerusi belakang.

Terdapat dua paparan iaitu di tengah jenis berwarna lapan inci dan paparan tujuh inci pada bahagian meter. Tidak mahu ketinggalan, Sylphy 2019 dilengkapi dengan arahan suara.

Nissan turut memberi perhatian kepada kualiti pemanduan dengan stereng, suspensi dan ketegaran badan ditambah baik untuk pengendalian rasa pemanduan lebih mantap.

Teknologi Modul Kawalan Dinamik Berintegrasi pula menggunakan brek bersasar apabila kenderaan melalui bonggol atau laluan berombak dan memperbaiki aras badan kereta untuk memberikan keselesaan kepada penumpang.

Tidak sah kereta sekarang jika tidak dilengkapi teknologi bantuan pemanduan dan untuk itu Nissan melengkapi Sylphy 2019 dengan Intelligent Trace Control, Intelligent Ride Control dan Emergency Brake for Pedal Misapplication.

Teknologi keselamatan canggih yang turut ada pada Sylphy 2019 ialah Amaran Pelanggaran Berdepan, Amaran Titik Buta, Amaran Penukaran Lorong, Amaran Lintasan Trafik dan Amaran Pemanduan Pintar.

Berkenaan dengan enjin pula, Nissan belum mendedahkan butiran terperinci kecuali generasi ketiga HR16DE yang dipadankan bersama transmisi Xtronic.

Nissan juga tidak mendedahkan harga yang ditawarkan di China dan pasaran manakah yang akan diperkenalkan selepas ini.

Apa yang pasti ialah Sylphy 2019 jelas menarik luar dan dalam yang baru padan dengan aura pengeluar Nissan GT-R!

Kredit foto: Nissan

Tags
Google ads
Back to top button