Artikel Pilihan

TOYOTA 2000GT-KERETA KLASIK TERMAHAL JEPUN KINI GENAP BERUSIA 50 TAHUN

Tahun ini genaplah 50 tahun usia model paling lagenda Toyota yang dikenali dengan nama Toyota 2000GT. Kereta ini merupakan sebuah model edisi terhad yang istimewa bagi Toyota dan ia juga dikenali kerana harganya yang mencatatkan harga paling tinggi untuk sebuah kereta klasik dari Jepun.

Toyota 2000GT merupakan sebuah model edisi terhad pacuan belakang dengan dua tempat duduk rekaan bersama Toyota dan juga Yamaha. Pertama kali dipertontonkan kepada umum di Tokyo Motor Show pada tahun 1965 dan dihasilkan secara kontrak dengan Yamaha dari tahun 1967 hingga 1970 dan dijual secara eksklusif di Jepun melalui rangkaian pengedar yang dinamakan Toyota Store.

2000GT merupakan satu revolusi sewaktu dilancarkan dan rata-rata industri permotoran mendakwa ia sebuah kereta sport yang praktikal dan mampu menyaingi model-model keluaran Eropah. Majalah terkenal Road & Track ketika itu memujinya sebagai sebuah kereta yang seronok dipandu dan setanding dengan Porsche 911 keluaran tahun yang sama.

Hari ini, 2000GT diburu sebagai model klasik paling bernilai dengan harga tertinggi pernah dibayar untuknya ialah USD1,200,000 pada sebuah lelongan sekitar tahun 2013 di Amerika Syarikat. Harganya kini dikatakan meningkat lagi kepada jumlah yang lebih tidak masuk akal. Ia bukanlah kereta yang kami idamkan pun, melampau syirik harganya sekarang.

Kebanyakan ciri rekaan Toyota 2000GT dilakukan oleh Yamaha. Bukannya sesuatu yang pelik kerana pada masa kini, Toyota GT86 yang popular itu juga menerima sentuhan Subaru. Perancangan awal model Toyota 2000GT diserahkan kepada Yamaha sebelum diluluskan oleh Toyota tetapi dengan mengambil kira pandangan dan rekaan pereka mereka sendiri, Satoru Nozaki.

BACA: YAMAHA OX9911-KERETA SPORTS YAMAHA

Rekaan Toyota 2000GT  dikatakan cukup klasik berbanding model-model Gran Turismo (GT) yang lain. Dilihat sekali imbas pun kita mesti tahu yang kereta ini mengambil inspirasi daripada Jaguar model E-Type.

Ia merupakan sebuah model coupe hardtop yang disudahi dengan rekaan badan daripada aluminium. Bahagian hadapannya menonjolkan rekaan lampu pop-up dan gril yang agak menyerupai Toyota Sports 800. Kereta ini juga cukup rendah sebenarnya dengan bahagian yang paling tinggi hanya setinggi 116 cm.

Ada yang mendakwa ia 2000GT diprosuksi dalam bentuk convertible tetapi sebenarnya hanya satu unit yang pernah dibuat. Ia direka untuk ditampilkan dalam filem James Bond ‘You Only Live Twice’.

Bahagian dalamannya juga cukup selesa dan mewah dengan papan pemuka dari kayu rosewood berkilat dan radio lengkap dengan fungsi carian-automatik (dulu ini adalah ciri mewah tau). Ia menjadikan 2000GT sebuah kereta yang menarik untuk dinaiki, dipandu ataupun sekadar dilihat.

Pada tahun 1969, dua tahun selepas pengeluarannya, ia telah ditawarkan dengan kotak gear automatik dan penyaman udara. Kereta ini juga ditawarkan dengan dua pilihan enjin iaitu 2.0-liter sebaris enam DOHC dan 2.3-liter SOHC.

Enjinnya juga mendapat sentuhan Yamaha yang menjadikannya cukup berkuasa untuk memacu kereta ini. Dikatakan mampu memecut sehingga kelajuan maksima 217 km/j.

2000GT juga mencetuskan revolusi dengan penggunaan Limited Slip Differential (LSD) dan sistem brek cakera bantuan-kuasa. Sebelumnya, belum pernah ada kereta Jepun yang dilengkapkan dengan dua ciri di atas secara standard. Malah ia juga mempunyai brek kecemasan pada papan pemuka yang mampu mengunci cakera brek belakang jika diperlukan.

Sepanjang tempoh produksi hanya 351 unit 2000GT dikeluarkan manjadikannya cukup eksklusif sama seperti pengeluar model-model eksotik dari Itali. Di Amerika Syarikat pada ketika itu, 2000GT dijual hanya dengan harga USD6,800. Lebih mahal berbanding model Jaguar dan juga Porsche.

Tapi sekarang, harganya boleh buat semua orang menyumpah. Dalam standard Jepun sendiri, kereta ini berada pada hierarki tertinggi. Pada usia 50 tahun, inilah kereta klasik Jepun paling dihormati, paling mahal, paling ikonik dan imej automotif Jepun yang paling agung.

Selamat ulangtahun ke 50 Toyota 2000GT!

BACA: TOYOTA CELICA 1000 KUASA KUDA

BACA: DATSUN 510 SSS THE LEJEN!

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button