Motosikal

PENUNGGANG MOTOSIKAL JATUH SELEPAS LANGGAR LOPAK AIR DI JALAN MERU

Seorang penunggang terjatuh di atas jalan raya selepas motosikalnya terlanggar lopak air di Jalan Meru semalam.

Dalam klip video berdurasi 59 saat, jelas kelihatan penunggang tersebut hilang kawalan lalu terjatuh. Beberapa buah kenderaan di belakang cuba mengelak daripada melanggar mangsa.

Seorang penunggang motosikal kemudian dilihat turun dan membantu mengalihkan motosikal. Sebelum dua orang lagi membantu mangsa yang sudah tidak sedarkan diri.

Video tersebut dipercayai dirakam netizen menerusi kamera dari sebuah kereta dan mulai tular di media sosial. Keadaan lanjut mangsa bagaimanapun tidak diketahui.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara yang dimaklumkan mengenai kejadian itu memaklumkan bahawa pihaknya akan menyiasat kes berkenaan. Tiada laporan diterima pihak polis mengenai kejadian terbabit.

Lopak air tersebut dikatakan berlaku akibat paip pecah dan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) sudah menjalankan kerja pembaikan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohktar memaklumkan beliau ada membuat tinjauan di lokasi terbabit.

“Saya ke lokasi kemalangan selepas video itu tular pada hari ini. Kejadian itu berlaku di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baru Klang bersebelahan dengan DUN Meru.

“Insya Allah saya cuba sebaiknya membantu walaupun di luar kawasan saya kerana pengguna jalan tersebut majoritinya digunakan oleh warga Meru,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook rasminya. – Sinar Harian

Google ads
Back to top button