Buletin

DBKL SUDAH 9 KALI BAIKI JALAN ROSAK RAGUT NYAWA WARGA EMAS DI JALAN SYED PUTRA KL

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini menyatakan bahawa kerja-kerja penyelanggaran Jalan Tengah menghala ke Jalan Syed Putra, sudah dilakukan sembilan kali sejak September lalu.

Kali terakhir permukaan jalan berkenaan diselenggara atau diturap adalah pada 26 Disember lalu. Ia menjadi lokasi panas berikutan seorang warga emas maut selepas terlanggar lubang di jalan berkenaan baru-baru ini.

Memandangkan kerosakan jalan berkenaan terlalu kerap berulang, DBKL telah pun melantik pihak Tetuan Ikram (Perunding Geoteknikal) untuk mengkaji dan menyiasat puncanya.

“DBKL sentiasa memantau dan mengambil tindakan terhadap jalan berlubang dengan membuat rondaan dan membuat tampalan segera di lokasi jalan rosak,” kata DBKL dalam satu kenyataan.

Pada pagi Ahad lalu, Ho Yan Fee, 75,  maut selepas terjatuh apabila motosikal yang ditunggangnya melanggar lubang di Jalan Tengah menghala ke Jalan Syed Putra.

Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan polis menerima laporan pada 7.30 pagi.

Menurut DBKL, pihaknya mempunyai pelbagai saluran aduan bagi orang awam untuk memanjangkan aduan berkaitan jalan berlubang.

Antaranya menerusi laman web aduan ISPAAA, Hotline DBKL (Call Centre), Biro Pengaduan Awam, Aplikasi i-Tegur (KPKT), emel, WhatsApp, telefon, bersurat selain aduan secara bersemuka di Pejabat Cawangan DBKL.

“Kerjasama orang awam amat diharapkan bagi menyalurkan maklumat mengenai kerosakan jalan termasuk potholes melalui saluran seperti dinyatakan,” katanya.

Sepanjang 2020, DBKL telah merekodkan 11,979 kerosakan jalan termasuk lopak dan semuanya diambil tindakan pembaikan.  

Sebanyak 7,735 kes dikesan melalui rondaan proaktif DBKL sendiri. Manakala 4,244 kes adalah melalui aduan daripada awam. – Harian Metro

Google ads
Back to top button