
SELEPAS TULAR DAN LEBIH 10 KERETA ROSAK, JALAN BERLUBANG DI KB AKHIRNYA DITURAP
Sejak tiga bulan lalu, lebih 10 buah kereta dan motosikal dilapor mengalami kerosakan apabila terjatuh ke dalam lopak air akibat jalan berlubang di Cabang Empat Guchil Bayam, Kota Bharu, Kelantan.
Bagaimanapun, selepas beberapa jam tular di media sosial baru tindakan diambil untuk menutup semua lubang di laluan berkenaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia seorang penduduk yang dikenali dengan panggilan Mamat, 23, berkata sepanjang tempoh tiga bulan itu ramai pengguna merungut apabila kenderaan milik mereka ‘terperangkap’ di dalam lubang tersebut terutama pada waktu malam.
Menurutnya, keadaan menjadi lebih bahaya setiap kali hujan lebat apabila pengguna tidak dapat mengagak ke dalaman lubang yang ada di laluan tersebut.
“Saya pernah menjadi mangsa walaupun sudah biasa menggunakan laluan ini terutama pada waktu hujan. Saya dimaklumkan sudah acap kali aduan dibuat oleh orang ramai namun tiada tindakan diambil,” katanya ketika ditemui semalam.
Mamat memberitahu, selepas tular pihak berwajib telah mengambil tindakan dengan menurap jalan tersebut.
“Saya mewakili penduduk berterima kasih kepada berwajib yang mengambil tindakan segera bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berulang lagi,” ujarnya. – Utusan Online
- BACA: BETUL KE PERMUKAAN JALAN SEBENARNYA TIDAK RATA DAN SENGET SEBELAH?
- BACA: KUALITI JALAN DI MALAYSIA LEBIH BAIK DARIPADA SWEDEN, KANADA, AUSTRALIA DAN BRITAIN
- BACA: TAK SAMPAI 48 JAM MB JOHOR BUAT SPOT CHECK JALAN BERLUBANG DI HSA, JALAN PUN DITURAP
- BACA: MOTOSIKAL MELEKAT KERANA DEGIL LALU JALAN BARU DITURAP