
MAHUKAH ANDA MEMBAYAR RM23K UNTUK MEJA KOPI V10?
Bukan selalu kami keluarkan berita perabot kat Mekanika ni kecuali kalau ia benar-benar istimewa. Kali ini meja kopi spesial. Sekarang kan zaman gila kopi. Padahal atok abang dari dulu layan kopi o pekat tak payah bayar mahal-mahal pun. Ini bukan kali pertama meja kopi dihasilkan dari komponen kereta khususnya enjin tapi yangni lain sikit sebab ia dihasilkan dari sebuah enjin lejen.

Enjin VR4 ke bang? Tak lah, lagi power dari tu. Ia adalah S85 V10 yang digunakan oleh BMW M5 E60 dan mampu menjana 500 hp kuasa maksima dan 520 Nm tork dalam keadaan standard. Ia sebuah enjin NA yang besar dan berkuasa untuk sedan super keluaran BMW. Cuma itulah, enjin ini ada kekuatan da nada kekurangannya.
Antara masalahnya yang paling popular ialah bearing rod. Mereka yang pernah membeli model M5 ini secara terpakai biasanya kena pastikan yang bearing rod telah ditukar oleh pemilik asal kalau tak nak timbul masalah. Untungnya kalau beli meja ni korang yang payah risau lagi pasal bearing rod ke minyak hitam ke, sebab semua dijamin tahan seumur hidup.

Empat piston digunakan sebagai tapak kaki meja manakala enam lagi berfungsi untuk sebagai tiang penyokong permukaan kaca meja. Kalau tengok dari atas memang boleh nampak permukaan piston yang berkilat. Kalau letak dalam kafe bertemakan sukan motor memang gempak habis lah.
Berbeza dengan kedai perabot lain, meja ini siap didatangkan dengan free gift okey. Bukan free gift dari kedai RM2.40 tapi memorabilia khas dari BMW yang eksklusif. Ia termasuklah enam biji mug, pelapik cawan dan sebuah buku bertajuk M5: The Complete Journey tulisan James Taylor.
Harganya? Aih pakai Beemer apa bimbang pasal harga kan? Ia dijual di laman web BringATrailer dan setakat ini harga terendah ialah sekitar RM23k!







