
BMW M5 E39 INI BERNILAI LEBIH RM1 JUTA – BIAR BETUL NI BANG
Siapa tak kenal BMW M5 boleh pergi main pondok-pondok je lah. M5 celup tampal emblem senget dengan rim 520 standard pun pergi main jauh-jauh. Ini memang antara kereta idaman kami dan M5 generasi E39 merupakan antara yang paling keren. Ni ada satu nak jual tapi dengan harga mencecah RM1.3 juta! Matilanak, baik beli Vios baru ataupun City bla bla bla sepuluh biji, kata ahli seumur bani #baikbeli.

Okey kereta yang dipaparkan ini ialah BMW M5 keluaran tahun 2003 dan berada dalam senarai jualan Enthusiast Auto Group, di Ohio. Kedai ni memang terkenal di kalangan peminat BMW klasik dan yang sukar didapati.
M5 ini berwarna Imola Red dan sebelum berada di bilik pameran ini ia dimiliki oleh sebuah keluarga sejak dari awal. Lagi best lagi meter perbatuannya cuma mencatatkan angka 1,200 kilometer sejak dikeluarkan dari kilang 20 tahun lepas. Mak aih, kita biasa seminggu keluar kedai dah lebih 2,000 kilometer jalan.

Jurucakap kedai ni menyatakan yang kereta ini diperolehi dari seorang pengumpul di Puerto Rico pada 2021 dan merupakan M5 E39 paling bersih pernah ditemui. Ia sentiasa disimpan dalam garaj dengan suhu terkawal dan catnya langsung tidak terjejas. Calar-calar kecil pun tidak dapat dikesan dengan mata kasar.
Tapi kalau dah namanya untuk dijual, sedikit sebanyak kena la touch up sikit. EAG telah menggantikan tayar-tayar asal Dunlop SP Sport 8080 M5 ini kepada satu set Michelin Pilot Sport 4 S. Aduh dah tak ada la angin standard kilang dalam tayar ori tu.
Ia kemudian menjalani proses servis untuk menggantikan bendalir-bendalir pelinciran dan mana-mana yang perlu. Yang pastinya kereta ini tidak pernah terlibat dalam kemalangan dan tidak mempunyai sebarang masalah mekanikal.

Satu ketika dahulu M5 ini merupakan antara sedan paling berkuasa dengan enjin V8 4.9 liter yang mampu menghasilkan 400 hp kuasa maksima. Ia kemudiannya dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan yang memacu roda belakang sehingga berasap kalau anda mahu. Ya, gear manual dengan enjin 400 hp tuan-tuan. Sila hormat sikit dengan orang lama.
Ha, kalau mampu tunggu apa lagi. Ataupun doakan semoga kami mampu beli boleh gunakan untuk content. Rare nak mati ni.







