Buletin

MALINDO AIRWAYS AKAN BERHENTIKAN 2,200 ORANG PEKERJA, KURANGKAN JUMLAH PESAWAT

Sama seperti syarikat penerbangan di seluruh dunia yang mengurangkan pekerja berikutan pandemik COVID-19, Malindo Airways Sdn Bhd turut terpaksa mengambil langkah sama.

Syarikat penerbangan perkhidmatan penuh hibrid dilapor akan memberhentikan sekitar 2,200 kakitangan atau lebih separuh daripada 3,200 tenaga kerjanya.

Malindo juga mungkin akan mengurangkan jumlah pesawatnya kepada lima pesawat Boeing 737 dan enam turboprop ATR.

“Proses pemberhentian kerja kakitangan yang terbabit dijangka selesai pada 30 November depan. Sementara kakitangan yang tidak terjejas perlu melakukan pelbagai tugasan,” jelas Malindo.

Pada 9 Oktober lalu, syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia Bhd dan AirAsia X Bhd mengesahkan pemberhentian 10 peratus daripada 24,000 kakitangan mereka, demi kelangsungan dalam industri penerbangan yang terjejas teruk akibat krisis COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tony Fernandes berkata langkah pemberhentian kerja itu terpaksa dilakukan memandangkan realiti sektor penerbangan yang menghadapi kesukaran untuk pulih dalam masa terdekat.

Pada hari yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Bhd (MAS) Kapten Izham Ismail dilaporkan berkata syarikat penerbangan premium itu akan memotong gaji pengurusan kanannya sebanyak 10 peratus mulai bulan ini – BERNAMA

Google ads
Back to top button