
MARC MARQUEZ JUARA MOTOGP 2019, 8 KALI JUARA DUNIA SEJAK 125CC!
Perlumbaan MotoGP pusingan ke-15 di Thailand pada 6 Oktober menyaksikan Marc Marquez dari Pasukan Repsol Honda RC213V dinobatkan sebagai juara keseluruhan FIM MotoGP 2019.
Pusingan di Buriram tersebut berlangsung dengan dramatik selepas Marc Marquez berjaya memintas Fabio Quartararo dari pasukan Petronas Yamaha SRT yang sebelum itu mendominasi persaingan sehingga babak akhir perlumbaan.
Kemenangan di Thailand menjadikan Marc Marquez juara enam kali MotoGP dan kali keempat berturut-turut sejak 2016.
Secara keseluruhan Marc Marquez sudah lapan kali menduduki takhta juara dunia selepas memenangi kelas 125cc pada 2010 dan Moto2 pada 2012.
Menyorot kembali pada awal musim 2019, Marquez yang menunggang Honda RC213V memenangi tempat kedua pada pusingan pertama dan menjuarai pusingan kedua.
Beliau gagal untuk meduduki podium pada pusingan di Amerika Syarikat namun bangkit dengan gah untuk menang lapan podium dan tempat kedua pada empat pusingan.
Marquez hanya gagal mendapatkan mata pada satu pusingan dan kejuaraan musim 2019 diraih dalam perlumbaan berbaki empat lagi pusingan.
Kerjaya Marquez sememangnya gemilang sejak awal lagi. Beliau adalah juara kelas 125cc pada musim 2010 dan juara Moto2 pada musim 2012.
Marquez kemudian menjadi juara termuda MotoGP pada musim 2013 dan menariknya itu adalah musim pertama beliau di kelas perdana tersebut.
Lebih menakjubkan apabila beliau turut mengulangi kejayaan tersebut pada musim 2014 dengan memenangi sepuluh pusingan pertama dan 13 kemenangan.
Marquez gagal untuk mencatatkan hatrik pada 2015 namun berjaya menebusnya kembali pada 2016 dan ia berterusan sehingga musim ini.
Di dalam karier MotoGP setakat ini, Marquez berjaya memulakan perlumbaan di grid utama sebanyak 61 kali dan menjuarai 53 pusingan Grand Prix dan juara empat kali MotoGP.
Berikut ialah latar belakang Marc Marquez dan pencapaian sejak dari awal menyertai perlumbaan Grand Prix dunia:
Tarikh lahir: 17 Februari 1993
Tempat lahir: Spain
Pencapaian:
- 2008 – Pertama kali menyertai Grand Prix Dunia, tempat ke-13 125cc
- 2009 – Tempat kelapan 125cc
- 2010 – Juara 125cc
- 2011 – Naib juara Moto2
- 2012 – Juara Moto2
- 2013 – Juara MotoGP
- 2014 – Juara MotoGP
- 2015 – Tempat ketiga MotoGP
- 2016 – Juara MotoGP
- 2017 – Juara MotoGP
- 2018 – Juara MotoGP
- 2019 – Juara MotoGP
BACA: HONDA RC213V-S – INI RASANYA MENUNGGANG MOTOSIKAL BERHARGA RM1 JUTA!
BACA: INI SEJARAH HONDA TYPE R DAN FIREBLADE – 25 TAHUN DAH!
BACA: MESIN RUMPUT HONDA TYPE R & FIREBLADE – SERIUS INI BUKAN LAWAK