
MAS2025: ZONTES BUKA TEMPAHAN 368E – HARGA BAWAH RM27K
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, ZONTES Malaysia memperkenalkan tiga model baharu untuk pasaran tempatan sewaktu berlangsunya Malaysia Autoshow 2025.
ZONTES Malaysia turut menggunakan peluang itu untuk membuka tempahan bagi ketiga-tiga model dengan 368E yang merupakan naik taraf dari 350E paling mencuri tumpuan.

Menariknya, ZONTES memaklumkan bahawa 368E akan dijual dengan harga bawah RM27,000, ini bermakna skuter dengan keupayaan touring hadir dengan harga lebih rendah berbanding 368G yang dijual pada harga RM28,800.
Walaupun harga sebenar belum diumumkan namun harga jangkaan bawah RM27k itu sudah cukup menggembirakan peminat skuter maxi.

ZONTES melaksanakan beberapa penambahbaikan signifikan pada 368E berbanding 350E sebelum ini antaranya fungsi dashcam, skrin TFT 6.75-inci baharu serta reka bentuk ekzos baharu.
Namun, perubahan terbesar terarah kepada ruangan enjin yang kini dipacu unit satu silinder 368cc SOHC yang sistem penyejukan cecair yang berupaya menjana 38.8hp pada 7,500rpm dan 40Nm pada 6,000rpm.

Kapasiti tangki bahan api juga meningkat kepada 17L berbanding 16L sebelum ini.
Antara perincian lain ditawarkan termasuk
- Zontes Keyless Intelligent Control System
- 2-mod; Sport dan Eco
- dua pengecas USB
- penghadang angin elektronik
- grip pemanas
- brek J.Juan
- TPMS (tyre pressure monitoring system)
- TC (traction control)

Bagi pasaran tempatan, ZONTES 368E ini hadir dengan warna Pearl White, Matte Black dan Matte Silver Blue.
Untuk rekod, model terdahulu 350E telah pun dihentikan produksi di China dan digantikan sepenuhnya oleh 368E. Ketika pelancaran di Malaysia, 350E dipasarkan dengan harga RM25,800.
GALERI: ZONTES 368E















