
RASMI: ZONTES 368G LANCAR DI MALAYSIA – RM28,800
Selepas melihat depan mata dan berpeluang menguji Zontes 368G ketika di China baru-baru ini, skuter adventure yang paling ditunggu-tunggu itu akhirnya mendarat di Malaysia dengan harga jualan rasmi RM28,888.

Kami berpeluang menguji skuter berkenaan sewaktu lawatan ke Jiangmen, China sekitar Disember 2024 dan ternyata kami kagum dengan apa yang bakal disajikan untuk rakyat Malaysia.
Selain menampilkan reka bentuk yang jelas diinspirasikan dari X-ADV 750, skuter terbaru dari Zontes ini dipacu enjin satu silinder 368cc SOHC dengan sistem penyejukan cecair dengan ukuran bore dan stroke 79mm x 75mm dan berupaya menjana 38hp pada 7,500rpm dan 40Nm pada 6,000rpm. Zontes mendakwa 368G ADV ini berupaya mencapai kelajuan maksima lebih 150km/j.

Bagaimanapun, daya tarikan utama skuter ADV ini bukan tertumpu kepada prestasi namun kepada ciri dan kelengkapan ditawarkan.
Pertamanya, skuter ini dilengkapi dengan kamera hadapan dan belakang yang menawarkan storan 128GB dengan sensor Sony STARVIS CMOS yang berupaya merakam video 1080p HD.

Keduanya, 368G ADV ini turut dilengkapi dengan panel meter TFT berwarna 8-inci dengan skrin LCD IPS yang menawarkan empat tema berbeza. Skrin tersebut juga boleh disambung ke telefon pintar dan interkom helmet.
Dalam pada itu, motosikal ini juga menawarkan dua mod menunggang; Eco dan Sport. Menariknya, sistem pada motosikal akan beralih ke mod Sport secara automatik sekiranya jentera mencapai 7,000rpm. Zontes 368G ADV ini juga dilengkapi dengan TPMS (tyre pressure monitoring system).

Motosikal ini juga hadir dengan sistem ‘traction control’ secara standard sekaligus menjaminkan kawalan menunggang yang lebih selamat dan stabil.
Sementara itu, penghadang angin juga boleh dilaraskan dengan 5-peringkat berbeza. Saiz yang tinggi dan lebar juga menjaminkan perlindungan dan keselesaan optimum terutamanya sewaktu tunggangan jarak jauh. Tidak dilupakan, 368G ADV ini juga didatangkan dengan lampu kabus secara standard.

Bahagian penutup tangki juga boleh dibuka dan tutup dengan mudah dengan butang elektronik tanpa perlu menggunakan kunci.
Zontes 368G ADV ini dilengkapi dengan fork depan jenis upside/down (USD) 41mm dengan pelarasan ‘rebound dan compression’ sementara penyerap hentak tunggal belakang menawarkan pelarasan pra-beban serta rebound.

Pakej brek pula terdiri dari kaliper brek J.Juan 4-piston depan dan 2-piston belakang dengan kedua-duanya dipadankan bersama ABS dwi-saluran secara standard.
Ciri yang turut mencuri perhatian adalah kapasiti tangki bahan api 17.5L sekaligus 4L lebih besar berbanding Honda XADV 750. Kehadiran tangki bahan api yang besar itu menjadikan tunggangan jarak jauh lebih selesa tanpa perlu kerap berhenti.

Tidak cukup dengan itu, Zontes turut memastikan ruang letak barang di bawah tempat duduk boleh memuatkan dua helmet bersaiz penuh.
Antara kelengkapan lain ditawarkan termasuk:
- tayar 17-inci depan, 14 belakang
- rim jenis lidi (spoked) tubeless
- pencahayaan LED penuh dengan DRL (daytime running light)
- sistem keyless
- TPMS (sistem pemantauan tekanan tayar)
- crash bar (pelindung enjin)
- handguard (pelindung tangan)
- port pengecas USB (fast-charging) Type-A dan Type-C
- grip pemanas
- brek parkir
GALERI: ZONTES 368G









































