
MAS2025: YAMAHA XMAX 250 2025 DIPERKENAL – RM24,888
Walaupun mengesahkan penyertaan di minit akhir namun itu tidak menyekat Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) untuk memperkenalkan baharu untuk pasaran tempatan menerusi Yamaha XMAX 250 baharu.
Model yang telah dinaik taraf itu boleh didapati dengan harga jualan (cadangan) RM24,888, tidak termasuk cukai jalan dan insurans.

Model keluaran 2025 itu kini hadir dengan penghadang angin elektrik sekaligus setaraf dengan pesaing utama, Honda Forza. Penghadang angin hadapan boleh diakses dengan butang kawalan yang terletak di sebelah kiri ‘handlebar’.
Menurut Yamaha, reka bentuk penghadang angin tersebut juga telah direka semula agar mengurangkan ‘buffeting’ sekaligus meningkatkan tahap keselesaan penunggang.

Selain itu, Yamaha turut menaik taraf panel meter dengan menggabungkan paparan TFT berwarna 4.2-inci dengan skrin LCD 3.2-inci. Kedudukan kedua-dua paparan ini adalah selari berbanding sebelum ini.
Panel meter TFT tersebut boleh disambungkan kepada telefon pintar menerusi aplikasi Y-Connect bagi mengakses kawalan muzik, maklumat kenderaan dan sistem navigasi Garmin StreetCross.

Menariknya, Yamaha turut menala semula sistem ‘traction control’ agar bertindak dengan lebih efisien sebaik tayar belakang mengesan gelinciran. XMAX 250 terbaru ini juga ditambah baik dengan sistem ESS (emergency stop signal).
Meskipun begitu, model terbaru itu masih kekal digerakkan enjin satu silinder 249.8cc SOHC yang berupaya menjana 22.5hp pada 7,000rpm dan 24.3Nm pada 5,500rpm.

Perincian lain ditawarkan termasuk ABS dwi-saluran, sistem tanpa kunci, soket USB-C dan tangki bahan api berkapasiti 13L.