
MASERATI PANGGIL 56 UNIT MC20 SEBAB LAMPU BELAKANG BERKELIP
Entah apa nilai estetik yang wujud pada lampu belakang berkelip, namun ia merupakan perkara yang amat digemari oleh segelintir rakyat Malaysia.
Namun bagi Maserati, ia merupakan satu masalah besar apabila ciri lampu berkelip itu wujud pada model MC20.
Menurut laporan daripada National Highway Traffic Safety Administration, isu lampu berkelip apabila pedal brek ditekan ini dilihat mampu mengelirukan pengguna jalan raya yang lain selain meningkatkan risiko kemalangan.
Masalah ini mula disedari oleh Maserati pada Februari tahun ini semasa proses pemeriksaan dibuat di kilang dan mendapati sebilangan kecil MC20 telah dipasangkan lampu belakang dengan litar yang dilengkapi transistor MOSFET yang akan mengakibatkan lampu belakang berkelip semasa pedal brek ditekan.
Dengan menggunakan rekod produksi, Maserati mengumumkan kempen panggil semula bagi unit yang dipasang antara 5 November 2021 hingga 8 Februari 2022.
Para pemilik MC20 akan dihubungi oleh Maserati, dan proses penukaran unit lampu belakang akan ditanggung sepenuhnya. – Carscoops